Karangkraf perkasa kesejahteraan komuniti menerusi 1,000 set wakaf al-Quran

Iklan
Antara wakil penerima set naskhah al-Quran sempena Program Satu Komuniti Satu Al-Quran.

SHAH ALAM – Sebanyak 1,000 set wakaf yang mengandungi al-Quran, Yasin, buku-buku Islamik dan bahan bacaan kerohanian akan diagihkan oleh Karangkraf kepada masjid, surau, institusi pendidikan serta organisasi korporat terpilih di seluruh negara menerusi inisiatif Satu Komuniti, Satu Al-Quran.

Program yang berlangsung dari November hingga Disember 2026 itu memberi tumpuan khusus kepada golongan miskin bandar di sekitar Lembah Klang dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan mental, emosi dan rohani masyarakat.

Iklan
Iklan

Ketua Komunikasi Korporat dan Hubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh institusi komuniti sebagai ruang yang menggalakkan pembelajaran, pemahaman dan penghayatan al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, kekuatan sesebuah komuniti terletak pada kemampuan jemaah masjid dan surau untuk saling membantu ketika berdepan kesukaran.

Iklan

"Usaha ini bukan sekadar memberi bantuan fizikal, malah menjadi wadah untuk memupuk kesejahteraan mental dan kerohanian, sekali gus membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan serta harmoni.

"Selain pengagihan set wakaf, Karangkraf turut mewujudkan Quran Corner di lokasi terpilih sebagai ruang komuniti yang menggalakkan aktiviti pembacaan, tadabbur, perkongsian ilmu dan interaksi sosial yang positif," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Satu Komuniti, Satu Al-Quran di Masjid Nurul Amin Merbau Sempak di sini pada Selasa.

Iklan

Nik Justin berkata, inisiatif tersebut akan menjadikan surau, masjid, sekolah dan pejabat bukan sekadar lokasi menjalankan aktiviti harian, malah berfungsi sebagai pusat pembinaan komuniti yang lebih bersatu, saling menyokong dan berteraskan nilai Islam.

Nik Justin (kanan) ketika menyampaikan set naskhah al-Quran kepada Mohd Rasli (kiri) di Masjid Nurul Amin, Kampung Merbau Sempak, Shah Alam pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini Karangkraf telah melaksanakan dua daripada 10 siri program pengagihan wakaf al-Quran yang dirancang.

"Program sama akan diteruskan menerusi penyerahan 37 set wakaf di Masjid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan kepada wakil 16 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.

"Daripada jumlah tersebut, lima set akan diserahkan kepada masjid berkenaan manakala setiap IPD menerima dua set wakaf al-Quran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nurul Amin Kampung Merbau Sempak, Mohd Rasli Muda berkata, penambahan koleksi al-Quran menerusi program tersebut mampu menggalakkan lebih ramai jemaah menyertai aktiviti tadarus yang dianjurkan pihak masjid.

Menurutnya, masjid berkenaan mengadakan program tadarus al-Quran berserta terjemahan setiap pagi selepas solat Subuh selain bacaan secara berkumpulan selepas solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.

"Secara tidak langsung, pertambahan al-Quran ini akan menggalakkan lebih ramai jemaah menyertai program tadarus.

"Setiap tahun sepanjang Ramadan, kita mengadakan program tadarus al-Quran selepas solat tarawih dengan membahagikan jemaah kepada kumpulan kecil sehingga khatam 30 juzuk," katanya.

Selain itu, Setiausaha Surau Manbahu Al-Salihat Elmina, Said Abdul Majid Mat Ali berkata, pihaknya menerima tiga kotak al-Quran menerusi program wakaf berkenaan untuk dimanfaatkan oleh ahli jemaah.

Menurutnya, sumbangan tersebut memberi peluang kepada ahli kariah membaca al-Quran sekali gus menjadi amal jariah yang berpanjangan kepada para pewakaf.

"Alhamdulillah, program ini sangat baik dan kami berharap ia dapat diteruskan serta diperluaskan kepada lebih banyak surau.

"Semoga ALLAH menerima wakaf yang ditunaikan dan terima kasih kepada Karangkraf atas usaha murni ini. Semoga program ini terus dilaksanakan agar lebih ramai mendapat manfaat," katanya.