PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei, selamat menjalani pembedahan lutut kiri di Melbourne, Australia pada Selasa susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Singapura bulan lalu.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan pembedahan tersebut berjalan lancar dan Ee Wei kini akan memulakan proses rehabilitasi.
Ee Wei meluahkan rasa syukur apabila prosedur berkenaan berjaya disempurnakan serta menghargai sokongan yang diterimanya sepanjang tempoh mencabar itu.
“Saya lega kerana pembedahan berjalan lancar dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan serta doa yang tidak putus-putus. Ia amat bermakna buat saya.
“Fokus saya kini adalah kepada proses rehabilitasi dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk menjalani pemulihan. Saya berharap dapat kembali ke gelanggang dengan lebih kuat,” katanya menerusi BAM pada Rabu
BAM juga turut memaklumkan badan induk itu akan terus menyediakan sokongan perubatan dan program rehabilitasi yang diperlukan sepanjang proses pemulihan pemain berusia 25 tahun itu.
Ee Wei berlepas ke Melbourne minggu lalu bagi mendapatkan pandangan pakar selepas disahkan mengalami kecederaan ACL ketika beraksi di Terbuka Singapura.
Bagaimanapun, tempoh sebenar pemulihannya masih belum dapat dipastikan.
Kecederaan itu dijangka menyebabkan Ee Wei terlepas peluang mempertahankan gelaran beregu campuran pada Kejohanan Dunia di New Delhi, India, yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos ini bersama gandingannya, Chen Tang Jie.
Sebelum ini, Ee Wei memaklumkan menerusi media sosial bahawa beliau berangkat ke Australia untuk mendapatkan rawatan selepas penilaian awal menunjukkan kaedah tanpa pembedahan memerlukan tempoh pemulihan antara tiga hingga sembilan bulan.