Penumpang pitam sebelum terjatuh ke landasan LRT Hang Tuah

Iklan
Tangkap layar insiden penumpang terjatuh atas landasan di stesen Hang Tuah pada Rabu. - Kredit Threads/ @yusrizal__rizz dan @wanii02_.

KUALA LUMPUR - Rapid KL mengesahkan berlakunya insiden melibatkan seorang penumpang terjatuh di atas landasan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah Laluan Ampang/Sri Petaling pada jam 6.36 petang, Rabu.

Rapid KL menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook memaklumkan, penumpang lelaki itu dipercayai pitam sebelum hilang imbangan badan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, tindakan pantas anggota Polis Bantuan (PB) yang bertugas berjaya memberikan bantuan awal kepada mangsa.

Susulan itu katanya, bekalan kuasa di landasan dihentikan buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi melaksanakan kerja-kerja menyelamat.

Iklan

"Selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan dan landasan disahkan selamat untuk beroperasi, perkhidmatan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi semula seperti biasa pada jam 6.52 petang," katanya.

Dalam pada itu, Rapid KL turut memberi jaminan mengutamakan aspek keselamatan penumpang di samping mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan di stesen.

Iklan

Mereka dinasihatkan supaya berada berada di belakang garisan keselamatan ketika menunggu tren serta tidak memasuki kawasan landasan

"Bagi mereka yang kurang sihat, pening atau tidak selesa ketika berada di stesen pula dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan segera daripada petugas stesen atau anggota PB bertugas," ujarnya lagi.

Pada Rabu, pengguna Threads @yusrizal__rizz dan @wanii02_ memuat naik video penumpang terbabit terjatuh ke atas landasan yang mana terdapat pendarahan pada bahagian muka mangsa.

Rata-rata pengguna media sosial berkenaan berkata, kejadian itu menyebabkan berlaku sedikit kelewatan tren ke stesen-stesen lain.