PETALING JAYA – Konsisten mengekalkan rasa asli serta kualiti hidangan selama lebih 13 tahun menjadi resipi kejayaan Lieniey Nasi Kerabu Tumis apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Grab 5-Star Eats 2025 bagi kategori Crowd's Favourite Best Malaysian Food (Hidangan Malaysia Terbaik Kegemaran Ramai).
Pengasasnya, Zaini Ahmad, 55, berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna kerana ia hadir hasil sokongan serta penilaian pelanggan yang terus memilih hidangan mereka sejak bertahun-tahun lalu.
Menurut beliau, kejayaan itu bukan hanya miliknya, sebaliknya hasil komitmen seluruh ahli keluarga yang berganding bahu membangunkan perniagaan berkenaan.
"Suami dan anak-anak banyak membantu saya menguruskan perniagaan ini. Sekarang kami mempunyai tiga cawangan dan dua lagi cawangan diuruskan oleh anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Lieniey Nasi Kerabu Tumis bermula daripada sebuah warung kecil sebelum berkembang secara berperingkat sehingga memiliki premis yang lebih besar di lokasi sedia ada.
Katanya, prinsip utama perniagaan itu adalah memastikan rasa makanan sentiasa kekal walaupun kos bahan mentah terus meningkat.
Menurutnya, penggunaan bahan seperti santan dan rempah masih dikekalkan mengikut sukatan asal kerana beliau tidak mahu pelanggan menikmati hidangan yang berbeza daripada kebiasaan.
"Kalau santan sebelum ini guna 10 kilogram, walaupun harga naik kami tetap gunakan 10 kilogram. Kami tidak sesekali mengurangkan bahan semata-mata mahu berjimat kerana kualiti adalah keutamaan," ujarnya.
Mengulas mengenai maklum balas pelanggan, Zaini berkata, setiap komen dan penilaian diterima dijadikan panduan untuk menambah baik operasi serta kualiti hidangan.
"Kalau ada pelanggan beri komen yang membina, kami akan cuba perbaiki. Contohnya ada yang kata nasi kerabu tumis agak manis, jadi kami akan lihat semula dan buat penyesuaian jika perlu," katanya.
Beliau turut mengakui platform GrabFood memainkan peranan besar dalam memperluaskan jenama Lieniey Nasi Kerabu Tumis kepada lebih ramai pelanggan.
"Kami tambah tenaga kerja khas untuk menguruskan tempahan Grab supaya pelanggan menerima makanan dengan lebih cepat," katanya.
Sementara itu, bagi kategori Best of the Best (Terbaik antara yang Terbaik), pengasas restoran Grilled Fish, Samsir Ramling, 42, menyifatkan pengiktirafan diterima sebagai bukti usaha berterusan dalam mengekalkan kualiti makanan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sejak hari pertama berniaga.
Anak bongsu daripada empat beradik yang berasal dari Tawau itu berkata, kejayaan tersebut bukan datang dalam sekelip mata, sebaliknya hasil perjalanan panjang membina perniagaan daripada sebuah gerai kecil di pasar malam.
"Saya sudah hampir 20 tahun berniaga. Sebelum mempunyai restoran, kami berniaga di pasar malam dan membina jenama ini sedikit demi sedikit sehingga berjaya membuka restoran sendiri enam tahun lalu di Kota Kinabalu," katanya.
Beliau berkata, Grilled Fish memberi tumpuan kepada hidangan makanan laut segar dengan menawarkan lebih 60 pilihan menu bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
"Kami percaya pelanggan datang bukan hanya kerana nama, tetapi kerana mereka yakin dengan rasa dan kualiti yang kami kekalkan sejak dahulu lagi," katanya.
Menurut Samsir, maklum balas pelanggan menjadi elemen penting dalam membantu pasukan restorannya terus meningkatkan mutu makanan serta perkhidmatan.
Katanya, sehingga kini Grilled Fish menerima lebih 20,000 ulasan pelanggan menerusi platform GrabFood yang dijadikan rujukan utama bagi menilai prestasi operasi restoran.
"Semua maklum balas pelanggan kami teliti. Daripada situ kami tahu apa yang perlu diperbaiki dan apa yang pelanggan mahukan," jelasnya.
Lebih sembilan juta ulasan jadi asas pemilihan
Anugerah Grab 5-Star Eats diwujudkan bagi membantu pengguna mengenal pasti restoran terbaik di Malaysia berdasarkan data sebenar serta penilaian pelanggan.
Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian, berkata, lebih sembilan juta penilaian dan ulasan yang diterima menerusi platform Grab menjadi asas kepada pemilihan pemenang setiap tahun.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan data itu memberi keyakinan kepada pengguna untuk membuat pilihan dalam kalangan ribuan restoran yang terdapat di platform berkenaan.
"Apabila pelanggan membuka aplikasi Grab, mereka mempunyai begitu banyak pilihan. Anugerah ini menjadi bukti sosial yang berpandukan data sebenar tentang restoran yang benar-benar mendapat pengiktirafan daripada pengguna, bukannya dipilih oleh individu atau panel tertentu," katanya.
Beliau berkata, data Grab turut menunjukkan rakyat Malaysia masih menggemari hidangan klasik seperti nasi ayam, nasi goreng dan pelbagai makanan tempatan.
Bagaimanapun, pada masa sama semakin ramai pengguna mula memilih menu yang lebih sihat.
Menurutnya, trend itu mencerminkan kepelbagaian cita rasa rakyat Malaysia dan semua kategori dalam Grab 5-Star Eats diwujudkan berdasarkan corak tempahan serta penilaian pengguna, bukannya ditentukan oleh Grab.
Anugerah tahun ini menampilkan 17 kategori termasuk Budget-Friendly Favourites (Hidangan Kegemaran Mesra Bajet) yang mengiktiraf jenama tempatan serta hidangan kegemaran rakyat Malaysia seperti S.A Bamboo Curry House.
Turut diperkenalkan tahun ini ialah kategori Top Searched Restaurants (Restoran Paling Banyak Carian) 2025 bagi meraikan peniaga yang berjaya menarik perhatian pengguna, dengan Nasi Ayam Gepuk Top Global dan Oriental Kopi muncul sebagai penerima anugerah berkenaan.