Had alkohol pemandu kekal 0.05 peratus, polis teliti hukuman lebih berat

Iklan
Muhammed Hasbullah Ali

KUALA LUMPUR – Had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) bagi pemandu di Malaysia kekal ditetapkan pada kadar 0.05 peratus selaras dengan indikator Kementerian Kesihatan, namun polis sedang meneliti cadangan untuk memperketatkan hukuman terhadap pesalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali bagaimanapun berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia dengan mengambil kira pelaksanaan undang-undang di beberapa negara seperti Taiwan dan Singapura yang mengenakan hukuman lebih tegas terhadap pesalah.

Iklan
Iklan

"Antara cadangan yang sedang diteliti ialah membatalkan lesen memandu perdagangan dan lesen memandu individu yang melakukan kesalahan serius. Cadangan untuk memperketatkan hukuman ini juga akan dikemukakan kepada kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammed Hasbullah berkata, syarikat perdagangan yang menggaji pemandu perlu bertanggungjawab sekiranya didapati cuai memastikan pekerja mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah atau alkohol.

Iklan

Katanya, JSPT juga sedang membangunkan sistem profil melibatkan pemandu, syarikat dan kenderaan bagi memperkukuh penguatkuasaan pada masa hadapan sebelum cadangan berkenaan dikemukakan kepada kerajaan.

"Kita berharap semua pengusaha syarikat terbabit melaksanakan ujian saringan dadah secara berkala terhadap pemandu mereka, sama ada pada setiap minggu atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.

Iklan

"Ini merupakan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya," katanya.