Sultan Selangor hargai Najib cetus LRT3, puji Anwar teruskan projek

Iklan
Titah perutusan Sultan Selangor sempena pembukaan Laluan LRT3 yang dikongsi di hantaran Facebook Selangor Royal Office pada Rabu.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina Laluan LRT3 menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3, baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel itu disampaikan kepada Najib ketika majlis berbuka puasa pada 2015 selepas menerima banyak surat daripada rakyat terutama suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurut baginda, ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan merentasi Sungai Klang sekali gus memburukkan kesesakan pada waktu puncak.

Pada masa sama, baginda bertitah, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan kelewatan tambahan selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19.

Iklan

Baginda bertitah, ketika Lim Guan Eng menerajui Kementerian Kewangan bersama Tony Pua sebagai penasihat, kos projek dikecilkan kerana disifatkan sebagai projek mega.

Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima lokasi stesen yang dicadangkan dibatalkan.

Iklan

"Beta ingin tegaskan ini bukan projek mega dan bukan untuk bermegah-megah, tetapi projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat beta," titah baginda.

Baginda turut memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek itu sehingga berjaya direalisasikan.

"Kerajaan bersetuju meneruskan projek itu dengan mengembalikan lima stesen yang dibatalkan serta merancang pembinaan rumah mampu milik berhampiran kawasan stesen dan laluan LRT3," titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Anwar kerana mengarahkan supaya tiada lagi sebarang halangan terhadap pelaksanaan projek berkenaan.

Dalam pada itu, baginda berharap LRT3 dapat mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang bekerja di Kuala Lumpur.

Baginda turut berharap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memastikan penyelenggaraan laluan LRT3 dilakukan dengan baik supaya perkhidmatannya terus beroperasi secara lancar.

Pada masa sama, baginda menegaskan tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan mendakwa kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata.

Sebaliknya, baginda menegaskan, projek itu adalah hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhan.

"Beta berharap kemudahan LRT3 menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pertumbuhan negara," titah baginda.