PELABURAN dan pembelian emas terpakai atau 'preloved' kini semakin mendapat sambutan hangat daripada masyarakat sebagai alternatif terbaik untuk memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan risiko kewangan.
Pemain industri emas, Shaaini Md Jumaat berkata, trend tersebut dipacu oleh kelebihan emas 'preloved' yang ditawarkan tanpa sebarang caj kos upah, berbanding pembelian emas baharu di pasaran.
Menurut beliau, pihaknya kini dalam misi melakukan anjakan paradigma bagi mengubah persepsi masyarakat agar tidak lagi memandang rendah terhadap barangan kemas terpakai.
"Pelaburan emas 'preloved' amat digalakkan kerana pelanggan tidak perlu membayar kos upah. Kami mahu mengubah persepsi masyarakat kerana emas preloved yang dipakai tetap kelihatan sama estetikanya seperti emas baharu apabila digayakan.
Beliau menjelaskan, sambutan konsisten terhadap emas ini turut disokong oleh disiplin pelaburan yang tinggi dalam kalangan pelanggan yang tidak panik dengan situasi turun naik pasaran semasa.
Malah, prestasi jualan harian di setiap cawangan sentiasa menunjukkan trend positif dan melepasi sasaran minimum yang ditetapkan, iaitu sekitar 200 gram bagi setiap cawangan.
"Sama ada harga emas sedang naik atau turun, pelanggan tetap semakin banyak membeli. Jadi, turun naik harga emas sebenarnya langsung tidak menjejaskan operasi perniagaan atau minat pembeli," katanya.
Mengulas lanjut mengenai dinamika pasaran, Shaaini berkata kitaran penawaran dan permintaan dalam industri emas sentiasa berjalan lancar kerana kepintaran pelanggan mengambil peluang berdasarkan pergerakan harga.
Jelas beliau, apabila harga emas meningkat, pelanggan akan mula datang ke kedai untuk menjual semula emas yang dibeli pada harga rendah bagi mendapatkan kecairan tunai.
Katanya lagi, apabila harga pasaran jatuh, pelanggan akan berebut-rebut untuk membeli semula emas tersebut.
"Sambutan hangat terhadap instrumen pelaburan ini juga dilihat sebagai persediaan bijak masyarakat dalam mendepani unjuran pasaran masa hadapan, memandangkan harga emas dijangka bakal mengalami lonjakan ketara sehingga melebihi RM800 setiap satu gram menjelang Disember depan.
"Kenaikan antara 200 hingga 800 mata itu diramal berlaku berdasarkan ulasan pasaran semasa, impak krisis geopolitik antarabangsa, serta kesan daripada sejarah perang dunia sebelum ini," ujarnya.