Pegawai kanan SPRM terpilih wakili Malaysia sertai latihan FBI

Iklan
Irawan terpilih menyertai program latihan FBI di Amerika Syarikat.

PUTRAJAYA - Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpilih mewakili Malaysia bagi program latihan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) National Academy siri ke-299 di Quantico, Virginia, Amerika Syarikat.

Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya, Irawan Khlir dari Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan pegawai ketiga daripada agensi itu yang diberi penghormatan untuk menyertai program latihan antarabangsa tersebut.

Iklan
Iklan

SPRM dalam kenyataan berkata, ini sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap profesionalisme, kepimpinan dan keupayaan pegawai SPRM di peringkat global.

Menurutnya, program latihan yang akan berlangsung di Quantico, Virginia bermula 8 Julai sehingga 17 September 2026 itu menghimpunkan pegawai penguat kuasa undang-undang dari pelbagai negara dan bertujuan meningkatkan kompetensi dalam aspek kepimpinan strategik, pengurusan operasi, teknik siasatan lanjutan, risikan berteknologi tinggi serta pengendalian ancaman keselamatan rentas sempadan.

Iklan

"Penyertaan Irawan dalam program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPRM untuk memperkukuh kapasiti pegawai melalui pendedahan kepada standard operasi antarabangsa, amalan terbaik global dan pendekatan penguatkuasaan moden yang lebih efektif.

"Pendedahan ini amat penting dalam mempertingkatkan keupayaan SPRM untuk terus beradaptasi dengan evolusi ancaman jenayah yang semakin kompleks dan sofistikated, khususnya melibatkan rasuah rentas sempadan, pengubahan wang haram, jenayah kewangan digital serta sindiket jenayah terancang," katanya pada Rabu.

Iklan

Tambah SPRM, program ini turut dirangka secara komprehensif dan berintensiti tinggi merangkumi pelbagai modul latihan termasuk pengurusan strategik, kepimpinan operasi, pendekatan forensik moden, analisis risikan serta teknik penyiasatan berasaskan teknologi.

Jelasnya, selain pembelajaran formal di bilik kuliah, program ini juga membuka ruang kepada interaksi strategik dan pertukaran pengalaman bersama pegawai penguat kuasa dari pelbagai negara, sekali gus membina jaringan profesional antarabangsa yang bernilai tinggi.

"SPRM percaya setiap pegawai yang menjalani latihan ini akan memainkan peranan sebagai pakar rujuk dalaman dalam organisasi, memperkukuh keupayaan siasatan agensi serta menyumbang secara signifikan kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), dasar penguatkuasaan dan keberkesanan operasi," ujarnya.

Tambahnya, penyertaan ini juga selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi SPRM untuk terus memperkasakan warga kerja dengan standard kompetensi bertaraf dunia, seiring dengan amalan agensi penguatkuasaan terkemuka antarabangsa.

"SPRM kekal komited untuk memastikan pembangunan modal insan terus diperkasa bagi melahirkan pegawai yang profesional, berintegriti tinggi, kompeten dan berdaya saing dalam usaha membanteras rasuah demi kesejahteraan negara," ujarnya.