KUALA LUMPUR - Sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau keputusan penjualan aset strategik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada masa akan datang wajib mendapatkan kelulusan daripada Jemaah Menteri secara telus.
Perkara itu disyorkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Rabu.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, usaha itu penting bagi memastikan kawalan strategik negara terhadap pengurusan lapangan terbang awam terus terpelihara.
Beliau dalam masa sama turut menegaskan, pegangan saham tempatan dalam MAHB yang dipegang oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan sekurang-kurangnya 70 peratus.
“Walaupun status MAHB kini merupakan entiti swasta yang dinyahsenaraikan, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mesti mewajibkan MAHB untuk menerbitkan Laporan Prestasi Operasi dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Perkhidmatan secara berkala kepada umum bagi mengekalkan akauntabiliti awam.
“Kementerian Kewangan (MoF) dan MOT wajib mengarahkan MAHB untuk mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan,” katanya.
Beliau menambah, laporan prestasi dan kemajuan projek modal kritikal syarikat berkenaan perlu dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat serta dikemukakan kepada PAC bagi membolehkan pengawasan semak dan imbang Parlimen dijalankan secara berterusan.
Sementara itu, Mas Ermieyati menambah, pengambilalihan dan penswastaan MAHB juga didapati mematuhi undang-undang serta Kod Pengambilalihan.
“Meskipun MAHB telah diswastakan, kerajaan masih mengekalkan kawalan strategik melalui pegangan 70 peratus saham oleh Khazanah dan KWSP serta kuasa golden share untuk melantik pengerusi, pengarah urusan dan empat orang ahli lembaga pengarah, di samping wakil tetap daripada kedua-dua pemegang saham terbesar itu.