[VIDEO] RCI skandal mafia korporat: Lima ahli Parlimen PKR tuntut PM, menteri nyata pendirian

Iklan

KUALA LUMPUR - Semua ahli Parlimen termasuk Menteri Kabinet dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk menyatakan pendirian secara terbuka mengenai cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal didakwa membabitkan ‘mafia korporat’ yang turut dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Wong Chen (tengah) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Iklan
Iklan

Gesaan itu dibuat lima Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen (Subang), Hassan Karim (Pasir Gudang), S Kesavan (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Lee Chean Chung (Petaling) Jaya dalam satu sidang akhbar bersama di Parlimen di sini pada Rabu.

Wong Chen ketika membacakan kenyataan bersama itu berkata, kelima-lima mereka mendesak agar semua ahli Parlimen menyatakan pendirian susulan gesaan 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara tersebut pada Selasa.

Iklan

“Kami menggesa 51 buah NGO berkenaan untuk mendesak semua ahli Parlimen memberikan pendirian terbuka yang jelas mengenai isu ini, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.

“Ini merupakan satu peluang yang amat sesuai untuk menguji komitmen ahli-ahli Parlimen terhadap integriti dan akauntabiliti,” katanya.

Iklan

Sekretariat RCINOW yang mewakili 51 NGO berkenaan dalam memorandumnya pada Selasa mencadangkan supaya bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama beberapa bekas anggota badan kehakiman yang disegani dan wakil ahli akademik serta masyarakat sivil.

Tambah sekretariat itu, komposisi berkenaan penting bagi memastikan wujud pemisahan jelas antara suruhanjaya dan pihak disiasat, sekali gus mengurangkan risiko campur tangan politik.

Mengulas lanjut, Wong Chen berkata, bagi tujuan berkenaan, kelima-lima mereka mencadangkan agar 51 NGO tersebut segera memulakan kempen ‘name and shame’ dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada semua ahli Parlimen untuk memberikan maklum balas sama ada menyokong atau menentang perkara itu.

Beliau berkata, RCI boleh ditubuhkan atas nasihat Perdana Menteri dan sekiranya lebih daripada 51 ahli Parlimen menyokong, Anwar akan terikat untuk mengesyorkan penubuhan suruhanjaya itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Wong Chen dalam sidang akhbar sama turut menggesa agar semua siasatan yang dijalankan oleh Kerajaan Madani terhadap dakwaan ‘mafia korporat’ dan pegangan saham Azam didedahkan kepada umum.

“Kami memahami bahawa dua siasatan sedemikian telah dijalankan setakat ini, namun tiada satu pun dapatannya didedahkan kepada orang ramai,” katanya.