Dua beradik ditahan cuba seludup dadah RM7 juta ke negara jiran

Iklan
Pemangku Pengarah Maritim Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil (dua kiri) menunjukkan pil ekstasi dalam sidang media mengenai rampasan dadah dan tangkapan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, hari ini. Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai hampir RM7 juta ke negara jiran selepas menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi di tenggara perairan Tanjung Piai, Pontian pada Isnin lepas.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, adik beradik berusia 26 dan 40 tahun itu ditahan pada 12.36 tengah malam selepas bot fiber yang dinaiki mereka dikesan kira-kira 3.5 batu nautika di perairan berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, operasi dijalankan susulan maklumat risikan yang diterima mengenai kehadiran bot yang mencurigakan, sebelum bot ronda maritim diatur gerak bagi melaksanakan pemantauan dan pengesanan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan beberapa bungkusan yang disembunyikan di bawah tempat duduk dan longgokan pukat.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi dadah disyaki syabu seberat 88.2 kilogram (kg) dianggar bernilai RM4.41 juta serta 30,000 biji pil ekstasi seberat 18 kg bernilai RM2.25 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kama Azri berkata, siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat dan pasukan detektif kemudian membawa kepada penemuan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning di pekarangan sebuah kediaman di Gelang Patah.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 787 kartrij vape mengandungi dadah sintetik baharu dikenali sebagai"Piu Piu” yang dianggarkan bernilai RM196,750.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek berperanan sebagai penghantar (transporter) dadah dan menerima bayaran kira-kira RM16,000, dengan lelaki berusia 26 tahun bertindak sebagai tekong, manakala abangnya sebagai pembantu.

Kama Azri berkata, hasil saringan urin turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai turut digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah menerusi talian hotline Pusat Operasi Maritim Johor di 013-7001235 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. - Bernama