MOTAC gesa pengusaha bas persiaran, pelancongan segera kemuka data kos diesel

Iklan
MOTAC menggesa pengusaha bas persiaran serta persatuan pelancongan yang masih belum mengemukakan data penggunaan diesel dan dokumen berkaitan supaya berbuat demikian segera. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa pengusaha bas persiaran serta persatuan pelancongan yang masih belum mengemukakan data penggunaan diesel dan dokumen berkaitan supaya berbuat demikian segera bagi membolehkan kerajaan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian susulan kenaikan harga diesel.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, maklumat berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan menilai secara tepat peningkatan kos operasi yang ditanggung pengusaha, sekali gus menentukan bentuk serta kadar insentif cukai yang bersesuaian.

Iklan
Iklan

Menurut kementerian itu, Kementerian Kewangan (MOF) pada dasarnya bersetuju meneliti cadangan bantuan kepada pengusaha bas persiaran, namun sebarang keputusan perlu disokong data lengkap dan tepat.

MOTAC berkata, kementerian itu mengambil maklum memorandum yang dikemukakan sembilan persatuan pelancongan berhubung kesan kenaikan harga diesel terhadap operasi bas persiaran.

Iklan

Susulan itu, sesi libat urus bersama wakil persatuan pelancongan diadakan bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas secara langsung daripada pihak industri mengenai cabaran yang sedang dihadapi.

Menurut MOTAC, sebarang bentuk bantuan tidak boleh diputuskan tanpa gambaran sebenar mengenai keadaan industri kerana ia berisiko tidak mencerminkan keperluan sebenar pengusaha serta boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain industri.

Iklan

"MOTAC sekali lagi menyeru semua persatuan dan pengusaha yang masih belum mengemukakan maklumat serta dokumen berkaitan supaya berbuat demikian dengan kadar segera bagi membolehkan kerajaan mempercepatkan proses penilaian dan seterusnya melaksanakan langkah bantuan yang benar-benar bersasar, adil dan berkesan,” katanya.

MOTAC berkata, kementerian itu akan terus mengutamakan kelangsungan industri pelancongan negara serta kesejahteraan rakyat, dengan sebarang langkah susulan dilaksanakan secara berperingkat selepas melalui penilaian menyeluruh yang mengambil kira kedudukan fiskal negara serta pertumbuhan ekonomi mampan. - Bernama