PUTRAJAYA – Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWatch) mendesak kerajaan memperjelaskan sama ada terdapat cadangan baharu untuk mengecualikan nikotin dalam produk rokok elektronik (vape) daripada Senarai Racun.
Presidennya, Roslizawati Ali berkata, penjelasan segera diperlukan susulan maklumat diterima pihaknya yang mendakwa kerajaan mungkin sekali lagi sedang mengusahakan pengecualian berkenaan.
Menurutnya, sekiranya perkara itu benar, ia menimbulkan persoalan serius mengenai penghormatan terhadap keputusan kehakiman, kebebasan profesional serta tanggungjawab kerajaan dalam melindungi kesihatan awam.
"Kerajaan perlu segera menjelaskan sama ada sebarang cadangan telah dikemukakan, diedarkan atau dijadualkan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Racun bagi mengecualikan nikotin dalam produk vape daripada Senarai Racun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, perkembangan itu membangkitkan kebimbangan kerana keputusan pengecualian nikotin pada 2023 sebelum ini telah diputuskan tidak rasional oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mei 2026.
Mahkamah turut mendapati keputusan berkenaan dibuat tanpa rundingan sewajarnya sebelum kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan itu pada Ogos lalu.
MyWatch berpandangan keputusan mahkamah berkenaan sepatutnya menjadi titik penting kepada kerajaan untuk membetulkan kesilapan lalu, selain memulihkan keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus kesihatan awam.
Dalam pada itu, Roslizawati berkata, kerajaan juga perlu mendedahkan justifikasi saintifik, perundangan dan kesihatan awam sekiranya terdapat cadangan baharu berkaitan pengecualian nikotin berkenaan.
Beliau turut menggesa kebebasan profesional Lembaga Racun dipelihara bagi memastikan pertimbangannya tidak dipengaruhi tekanan politik, komersial atau pentadbiran.
"Kerajaan sepatutnya memperkukuh perlindungan, bukannya mencari jalan untuk melemahkannya," ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu vape kini bukan sekadar berkaitan ketagihan nikotin atau kawal selia produk komersial, sebaliknya turut membabitkan keselamatan masyarakat dan perlindungan kanak-kanak serta remaja.
Dakwanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan ratusan kes melibatkan produk vape yang dicampur dengan dadah sintetik berbahaya.
Sehubungan itu, MyWatch menggesa kerajaan menyediakan pelan hala tuju yang jelas serta mempunyai tempoh masa khusus ke arah larangan vape, khususnya produk dan peranti yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik.
Beliau menegaskan, perlindungan kanak-kanak, remaja dan generasi akan datang perlu diberikan keutamaan berbanding kepentingan komersial serta industri.
"MyWatch menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad menangani kebimbangan ini dengan segera, secara terbuka dan tanpa sebarang keraguan.
"Ini bukan lagi sekadar isu kawal selia. Ini adalah satu darurat kesihatan awam," katanya.