Aspirasi Guru Pahang 1st, penghargaan terhadap jasa guru angkat martabat pendidikan - Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy (depan, lima dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima sempena Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada Selasa. Foto: FB Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN- Kerajaan Negeri Pahang berhasrat untuk meneruskan Majlis Aspirasi Guru Pahang 1st sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para guru yang telah mengangkat martabat pendidikan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, warga pendidik menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan pendidikan di negeri ini sehingga Pahang berjaya muncul antara negeri terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan kedudukan tempat kedua keseluruhan selepas Putrajaya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa pengorbanan dan dedikasi guru.

"Justeru Aspirasi Guru Pahang 1st sangat baik dan bertepatan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan besar golongan itu.

Iklan

"Kejayaan seseorang murid pasti ada guru yang mendidik mereka sebab itu kerajaan negeri tampil memberi penghargaan dan penghormatan kepada guru-guru melalui majlis hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Selasa.

Iklan

Seramai 49 penerima anugerah terdiri daripada individu dan institusi pendidikan diraikan pada majlis itu.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM3.2 juta bagi meraikan para guru sempena penganjuran Majlis Aspirasi Guru Pahang 1st.

Sementara itu katanya, kerajaan negeri akan terus memainkan peranan membantu pelajar melalui pelbagai inisiatif pendidikan, termasuk penyediaan buku rujukan SPM secara percuma kepada semua calon peperiksaan tanpa mengira kaum atau lokasi.

Katanya, semua pelajar di seluruh Pahang menerima manfaat yang sama bagi memastikan peluang pendidikan yang adil dan seimbang.

"Kerajaan negeri turut menyediakan juadah makanan kepada calon SPM yang menduduki peperiksaan itu.

"Usaha-usaha seperti ini akan kita tingkatkan lagi pada masa akan datang kerana kejayaan bukan datang secara kebetulan sebaliknya hasil usaha pelbagai pihak termasuk murid, guru, ibu bapa serta persekitaran sekolah yang kondusif," katanya.