PUTRAJAYA - Pelaksanaan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) yang bermula esok dijangka akan memanfaatkan 700,000 pemilik kenderaan diesel di seluruh negara.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, jumlah itu merangkumi 400,000 pemilik di Semenanjung dan bakinya, 300,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Ini merupakan peluasan ketara berbanding Budi Diesel Individu sebelum ini, yang hanya melibatkan kira-kira 180,000 penerima bantuan tunai bulanan di Semenanjung Malaysia untuk menampung sebahagian kos pembelian diesel pada harga pasaran," menurut MoF.
Ujar MoF, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan kini layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kerajaan juga katanya akan memperluas liputan kepada kenderaan persendirian jenis pikap dan jip yang berdaftar atas nama syarikat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
"Subsidi bahan api memastikan rakyat yang layak tidak perlu membayar harga pasaran penuh.
Budi Diesel yang bermula Rabu membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter, berbanding harga pasaran RM3.97 seliter bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai.
Akses awal Budi Diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia telah berjalan lancar sejak dibuka pada 27 Jun 2026.
Sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah serius dilaporkan oleh penerima subsidi mahupun syarikat minyak.
Setakat jam 12.00 tengah hari Selasa, kira-kira 80,000 transaksi telah direkodkan, melibatkan pembelian sekitar 3.2 juta liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM7 juta pada harga RM2.15 seliter.
Tambahan 100 liter untuk pikap dan jip Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak juga boleh memohon.