SUNGAI PETANI – Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang berjalan kaki bersama empat ahli keluarga di Jalan Kuala Ketil-Sungai Petani dekat Bandar Puteri Jaya, di sini pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Shukriyah Abu Bakar, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang penunggang motosikal tidak menyedari kewujudan mangsa bersama individu lain termasuk seorang bayi dan kanak-kanak sedang berjalan kaki di lokasi kejadian.
"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal itu gagal mengelak lalu merempuh kumpulan pejalan kaki berkenaan," katanya.
Akibat kemalangan itu, Shukriyah disahkan maut oleh petugas perubatan.
"Penunggang motosikal mengalami cedera parah dan seorang lagi pejalan kaki mengalami kecederaan pada bahagian tangan," katanya.
Hanyan berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan bagaimana pejalan kaki boleh berada di lokasi kejadian pada waktu berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.