MUAR - Berbekalkan pengalaman dalam industri perkapalan serta minyak dan gas, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mahu memanfaatkan kepakaran dalam kejuruteraan maritim untuk mengangkat potensi sektor perikanan sebagai pemacu ekonomi penduduk setempat.
Calon berusia 31 tahun yang dikenali sebagai 'akak kapal' itu berkata, kawasan Parit Jawa dan Pantai Leka mempunyai kelebihan semula jadi yang besar, namun memerlukan pembangunan lebih sistematik menerusi penambahbaikan infrastruktur termasuk jeti, kemudahan pendaratan bot dan penggunaan teknologi moden.
Ayna Soraya berkata, usaha memperkukuh sektor berkenaan bukan sahaja dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan dan mengurangkan kos operasi, malah mampu mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat.
Menurutnya, pembangunan industri perikanan perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi rantaian nilai daripada kemudahan pendaratan dan pemasaran hasil laut sehingga pemprosesan produk serta latihan kepada komuniti nelayan.
"Saya mahu gunakan pengalaman saya dalam bidang maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi kepada penduduk Sungai Balang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di pasar Parit Jawa pada program sarapan pagi dan menonton bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.
Soraya berkata, beliau turut berhasrat meningkatkan penyertaan golongan belia dalam industri perikanan yang ketika ini masih rendah walaupun sektor itu mempunyai prospek cerah.
"Saya lihat kalau sektor maritim ataupun perikanan, potensinya sangat baik. Saya difahamkan anak muda nelayan lebih kurang dalam dua ke tiga peratus di Parit Jawa sahaja. Jadi jika diberikan pembangunan yang lebih baik, peluang untuk anak muda itu luas," katanya.
Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi setempat, Timbalan Ketua Srikandi PKR itu berkata, beliau juga mahu memperkasa wanita dan ibu tunggal melalui latihan kemahiran, bantuan bersasar serta peluang menjana pendapatan.
Beliau berkata, pembangunan belia turut menjadi keutamaan menerusi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, akses kepada pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pengukuhan ekonomi digital agar anak muda tidak perlu berhijrah ke luar kawasan demi mendapatkan pekerjaan.
Pada masa sama, Soraya berkata, isu capaian internet yang kurang memuaskan di beberapa kawasan di Sungai Balang turut diberi perhatian dan difahamkan sedang dalam tindakan penyelesaian selepas perkara itu dibawa kepada Fahmi.
Sementara itu, Fahmi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi PH berkata, PH terus memberi penekanan terhadap agenda anak muda dengan mengetengahkan calon daripada kelompok belia yang mempunyai kredibiliti dan latar belakang profesional pada PRN Johor kali ini.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan mencerminkan kesungguhan gabungan tersebut untuk memastikan suara serta aspirasi generasi muda diterjemahkan melalui pemilihan calon.
Beliau berkata, PH turut mempertaruhkan calon termuda PRN Johor, Danish Hossman yang berusia 23 tahun.
"Bagi PH, ini membuktikan bahawa kita mendengar harapan dan aspirasi anak muda. Apa yang mereka harapkan adalah representasi yang benar-benar menjiwai harapan dan aspirasi mereka," katanya.
Mengulas perjalanan kempen, Fahmi berkata, kepimpinan PH sedang menyusun pelbagai program termasuk pelancaran Manifesto PH Johor dalam masa terdekat sebagai bukti kesungguhan gabungan itu menawarkan pelan pentadbiran terbaik, selain berusaha menambah pencapaian melebihi 12 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022.
Beliau turut menyeru semua parti yang bertanding agar mengekalkan kempen secara matang dengan memberi tumpuan kepada dasar dan keupayaan calon, tanpa membangkitkan isu sensitif berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).
"Pandangan saya, tidak payah sentuh (isu 3R) pun, biar parti lawan parti. Fokus kepada parti-parti politik dan tokoh-tokoh politik," katanya.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, Soraya bakal berdepan pertandingan tiga penjuru menentang penyandang Barisan Nasional (BN), Selamat Takim, serta calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Amin Sailan.
Mengakui turun bertanding sebagai 'underdog' di kawasan yang sekian lama dianggap kubu kuat UMNO, beliau bagaimanapun percaya sokongan pengundi mampu berubah sekiranya mereka menilai tawaran pembangunan yang dibawa PH.