IPOH – Agensi kerajaan berkaitan disaran mengambil pendekatan lebih proaktif dengan bekerjasama bersama persatuan dan pengusaha dusun bagi memastikan industri durian di Perak Tengah terus berdaya saing serta tidak terjejas akibat lambakan hasil dan kejatuhan harga.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, penganjuran karnival atau pesta durian perlu dijadikan acara tahunan oleh agensi bertanggungjawab setiap kali musim durian bagi membantu meningkatkan permintaan terhadap buah berkenaan.
Menurutnya, persatuan menerima banyak aduan daripada pemilik kebun durian di Perak Tengah yang mendakwa hasil mereka sukar dipasarkan malah ada yang enggan menjual apabila harga merosot sehingga serendah RM1 sebiji atau sekitar 30 hingga 50 sen sekilogram.
"Keadaan ini berlaku susulan lambakan durian apabila musim luruh berlaku serentak di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Namun pengeluaran durian di Perak Tengah sebenarnya tidak sebesar musim lalu. Justeru durian di daerah ini yang terkenal sebagai durian kampung dan durian organik sepatutnya masih mempunyai nilai komersial yang baik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, selain persaingan antara negeri, pengusaha tempatan kini turut berdepan peningkatan pengeluaran varieti premium seperti Musang King, Black Thorn dan Udang Merah serta saingan daripada negara jiran.
Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Agro Keusahawanan (IGROW) itu, pelbagai usaha promosi perlu digiatkan bagi mengekalkan nilai dan populariti durian Perak Tengah.
Jelasnya, pendekatan itu pernah dibuktikan berjaya menerusi pelbagai program seperti Pesta Durian Kampung Gajah, Pertandingan Durian Terbaik Negeri Perak, Festival Durian dan program agropelancongan yang dianjurkan sejak era 1980-an dan 1990-an.
Katanya, penganjuran Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025 oleh IGROW bersama Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah turut membuktikan keberkesanan strategi tersebut apabila berjaya menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa seperti Thailand.
"Hasil penganjuran itu, harga durian berjaya meningkat sekitar RM8 hingga RM13 sekilogram sebelum melonjak kepada RM18 sekilogram pada penghujung musim apabila permintaan dari negeri lain bertambah.
"Karnival itu bukan sahaja memberi impak kepada sektor pelancongan, malah membantu memasarkan produk hiliran dan mengekalkan harga yang menguntungkan pengusaha dusun," katanya.
Nordin berkata, kejayaan itu sepatutnya menjadi contoh kepada Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Majlis Daerah Perak Tengah serta kerajaan Perak untuk berganding bahu bersama persatuan serta pemilik dusun dalam menganjurkan program sama.
Sebaliknya, beliau mendakwa pihak persatuan berdepan kesukaran mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi sehingga terpaksa menanggung sendiri kos serta pengurusan penganjuran karnival yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat itu.
"Tugas mempromosikan durian tidak boleh diserahkan kepada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) semata-mata kerana industri ini mempunyai potensi besar sebagai penjana ekonomi masyarakat dan negeri.
"Semua agensi perlu berganding bahu kerana ia bukan sekadar membantu pekebun malah merancakkan sektor pelancongan dan keusahawanan tempatan," ujarnya.
Beliau turut menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh kejayaan promosi durian apabila buah daripada varieti sama mampu dijual sehingga RM38 sekilogram hasil sokongan kerajaan yang menjadikan durian sebagai produk pelancongan utama negeri itu.
Sehubungan itu Nordin mencadangkan agar pakej tertentu diperkenalkan untuk menarik minat orang luar datang ke daerah itu bukan sahaja kerana durian tetapi tarikan pelancongan yang sedia ada.
Katanya, dengan cara itu masalah harga durian yang turun mendadak dapat ditangani seterusnya membantu pengusaha serta industri tempatan berkembang.
Media sebelum ini melaporkan FAMA sedang giat melaksanakan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 bagi memastikan hasil pengeluaran durian tempatan dapat dipasarkan secara terancang sepanjang musim puncak pengeluaran dari Jun hingga Ogos.