Maghribi hantar Belanda pulang

Iklan
Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Belanda 3-2. Foto AFP

MONTERREY - Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia selepas menewaskan Belanda 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan dramatik pada Isnin, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ismael Saibari menyempurnakan sepakan penalti terakhir apabila menyepak bola ke penjuru kiri gawang, sementara penjaga gol Belanda, Bart Verbruggen melompat ke arah yang salah.

Iklan
Iklan

Maghribi akan berdepan tuan rumah bersama Kanada pada Sabtu ini di Houston bagi merebut tempat ke suku akhir.

Cody Gakpo menjaringkan gol pembukaan yang penuh bermakna buat Belanda hanya beberapa hari selepas beliau dan pasangannya, Noa van der Bij mengumumkan kehilangan bayi yang masih dalam kandungan.

Iklan

Walaupun berdepan detik sukar dalam kehidupan peribadinya, Gakpo memilih untuk terus bersama pasukan dalam kejohanan itu dan memecah kebuntuan pada minit ke-72.

Wout Weghorst menanduk hantaran jauh daripada penjaga gol ke arah Crysencio Summerville.

Iklan

Summerville kemudian melakukan larian, terjatuh ketika diasak antara dua pertahanan, namun masih berjaya melorongkan bola kepada Gakpo yang merembat masuk ke gawang.

Jaringan itu seolah-olah sudah memadai untuk membawa Belanda ke pusingan 16 terbaik, namun Maghribi bangkit menyamakan kedudukan pada minit pertama masa kecederaan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk hanya mampu melihat Issa Diop menanduk masuk hantaran lintang Chemsdine Talbi dari sebelah kiri.- Bernama-dpa