PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan kes rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) memohon semua pihak bersabar dan mendoakan kesihatan Hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, situasi sedemikian bukan sesuatu yang lazim berlaku dalam prosiding mahkamah, namun ia boleh berlaku dalam keadaan tertentu.
Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan selaku perayu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Sementara pembelaan Syed Saddiq selaku responden diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk S Ambiga dan Kee Wei Lon.
Penantian Syed Saddiq untuk mengetahui nasibnya di Mahkamah Persekutuan di sini, tidak kesampaian apabila keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya yang dijadual pada Selasa terpaksa ditangguhkan ke 13 Julai depan.
Penangguhan itu berlaku selepas seorang daripada panel tiga hakim itu, tidak dapat menghadiri prosiding kerana tidak sihat dan diberi sijil cuti sakit selama dua hari.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel berkata, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah hadir di mahkamah, namun Che Mohd Ruzima tidak bersama mereka.
Sebelum ini mahkamah menetapkan 30 Jun untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq bagi empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan dan Syed Saddiq.
Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu disabitkan semula atas empat pertuduhan dan dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.
Sekiranya panel mengambil langkah berbeza dengan menolak rayuan itu, Syed Saddiq bakal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan tahun lalu.