KOTA BHARU - Seorang lelaki entnik Rohingya mendedahkan dia membayar kira-kira RM10,000 kepada ejen bagi membawanya ke Malaysia dan menaiki sebuah kapal laut selama sebulan dari Rathedaung, Rakhine, Myanmar menuju ke Thailand.
Setibanya di Thailand (lokasi tidak diketahui), lelaki berkenaan berjalan kaki melalui kawasan hutan menuju ke selatan Thailand selama kira-kira tiga hari sebelum dibawa masuk ke negara ini melalui laluan Sungai Golok.
Lelaki berusia 24 tahun itu bagaimanapun telah ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang menunggu bas ke Permaisuri, Setiu, Terengganu untuk mencari pekerjaan di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada Isnin.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki warga Myanmar berketurunan Rohingya itu ditahan dalam Op Taring Wawasan kira-kira jam 7.50 malam.
Menurut beliau, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA.
"Ketika ditahan, dia mengaku sedang menunggu bas untuk ke Permaisuri, Terengganu bagi mencari peluang pekerjaan yang baharu," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Ahmad Radzi memberitahu suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Ujarnya, PGA akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi mengesan sindiket penyeludupan migran serta mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.