KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan dakwaan mengeluarkan sebarang permohonan atau tawaran berkaitan perolehan kerja, pembekalan mahupun perkhidmatan melalui aplikasi media sosial.
MetMalaysia dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu selepas menerima aduan mengenai individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan untuk menawarkan urusan perolehan yang tidak wujud.
Iklan
Iklan
MetMalaysia turut membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan menyarankan orang ramai yang menjadi mangsa atau menerima permohonan mencurigakan agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Semua urusan perolehan MetMalaysia dilaksanakan secara rasmi hanya melalui Sistem ePerolehan mengikut tatacara dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.
"Orang ramai, syarikat dan pembekal dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu terhadap kesahihan sebarang tawaran atau permohonan yang dikaitkan dengan MetMalaysia," menurut kenyataan itu.- Bernama