PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di pekarangan Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa dengan disambut ahli keluarga serta beberapa pimpinan parti politik.
Beliau yang memakai sut berwarna hitam tiba kira-kira jam 8.50 pagi dalam keadaan tenang dan kelihatan tersenyum sebelum memasuki kawasan mahkamah.
Syed Saddiq sempat bersalaman dengan ibu bapanya serta beberapa individu yang hadir, selain melambai ke arah pengamal media yang menunggu sejak awal pagi.
Turut kelihatan hadir ialah Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir; bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan beberapa individu lain.
Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali disabit dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan selaku perayu, sementara Syed Saddiq sebagai responden.