SHAH ALAM –"Saya berdiri sekali lagi untuk mempertahankan nama, prinsip dan maruah."
Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelang keputusan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang bakal menentukan sama ada beliau kekal dibebaskan atau kembali disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
ARTIKEL BERKAITAN: Rayuan akhir pendakwaan: Peguam yakin Syed Saddiq bebas
Calon MUDA DUN Maharani janji hadir beri sokongan kepada Syed Saddiq
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di media sosial, Syed Saddiq berkata, beliau telah melalui perjuangan selama enam tahun sejak disiasat dan didakwa sebelum Mahkamah Rayuan membebaskannya secara sebulat suara menerusi keputusan 3-0.
Bagaimanapun, menurutnya, perjuangan untuk mempertahankan nama baik dan prinsip yang dipegangnya masih belum berakhir.
"Sepanjang enam tahun ini, saya tidak pernah minta kes ini ditangguh, saya tidak pernah minta jalan pintas dan saya juga tidak pernah minta layanan istimewa.
"I faced it head-on. I dared to fight because my conscience is clear, saya tahu kebenaran mesti dipertahankan walaupun jalannya panjang, pedih dan kadang-kadang sunyi," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, apa yang dihadapinya bukan sekadar mengenai dirinya semata-mata, sebaliknya membabitkan soal keadilan dan masa depan negara.
Menurutnya, Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang memberi ruang kepada golongan muda bersuara tanpa rasa takut ditekan, selain memastikan keadilan tidak memilih pangkat, parti atau kuasa.
"Saya mohon satu perkara kepada rakyat Malaysia, jangan putus asa dengan negara ini, terus bersuara, terus melawan kebatilan dan terus mempertahankan kebenaran walaupun terpaksa berdiri seorang diri.
"Saya sudah berjuang sehabis baik. Saya sudah mempertahankan kebenaran dengan segala kudrat.
"Kini saya serahkan seluruhnya kepada ALLAH SWT kerana selepas manusia berusaha, ALLAH ialah sebaik-baik penentu," katanya.
Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 34 tahun tersebut kekal bebas atau kembali disabit dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pendakwaan selaku perayu, sementara Syed Saddiq sebagai responden.
Jika panel hakim membenarkan rayuan pendakwaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu akan disabitkan semula atas empat kes terbabit dan dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023 lalu.
Sekiranya panel mengambil langkah berbeza dengan menolak rayuan itu, Syed Saddiq bakal menikmati pembebasan yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada tahun lalu.
Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Sementara Syed Saddiq diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.