AMK dakwa BN masih gagal tunai 11 manifesto BN pada PRN 2022
Iklan
Danish Hairudin
JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor masih gagal menunaikan sekurang-kurangnya 11 manifesto yang dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu kegagalan memenuhi janji-janji berkenaan, sebelum mempertikaikan tindakan PH yang belum mengumumkan manifesto bagi PRN kali ini.
Iklan
Iklan
Katanya, selepas lebih empat tahun mentadbir Johor, masih terdapat pelbagai manifesto BN yang belum direalisasikan.
"Sebaliknya beliau sendiri gagal menunaikan sebahagian besar manifesto BN yang dijanjikan kepada Bangsa Johor pada tahun 2022.
Iklan
"Sebelum mempertikaikan manifesto pihak lain, Onn Hafiz sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu mengapa begitu banyak janji BN masih gagal ditunaikan selepas lebih empat tahun mentadbir Johor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Danish mendakwa antara manifesto yang masih belum direalisasikan ialah pembangunan Batu Pahat Barter Trade Port, Pasar Borong Digital Johor serta pelaksanaan pinjaman tanpa faedah RM100 juta menerusi Johor Niaga.
Iklan
Beliau turut mendakwa beberapa bentuk bantuan kepada rakyat tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan, termasuk bantuan RM150 kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.
"Bantuan RM500 kepada mahasiswa Johor daripada keluarga B40 pula akhirnya hanya menjadi RM200.
"Janji menaikkan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada RM500 juga tidak ditunaikan apabila bantuan yang diterima rakyat jauh lebih rendah. Golongan wanita, belia dan institusi masyarakat juga menerima nasib yang sama.
"Onn Hafiz juga gagal menunaikan janji untuk memperluaskan Klinik Wakaf An-Nur ke setiap daerah. Institut Wanita Johor yang dijanjikan tidak pernah diwujudkan. Bantuan RM1,000 kepada pasangan muda yang berkahwin kali pertama akhirnya hanya RM400.
"Malah, elaun imam, bilal, noja dan siak yang dijanjikan akan dinaikkan juga kekal tanpa perubahan sepanjang penggal pentadbiran BN," katanya.
Dalam pada itu, Danish turut mempersoalkan manifesto BN yang mahu menjadikan Muar sebagai Hab Perabot Negara kerana menurutnya, bandar berkenaan telah dikenali sebagai Bandar Perabot Malaysia sejak 2018.
Beliau berkata, rakyat Johor kini lebih matang dalam menilai prestasi sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pelaksanaan, bukannya sekadar janji atau slogan pilihan raya.
"PH tidak pernah takut menawarkan agenda kepada rakyat. Malah, dalam masa terdekat, PH akan membentangkan 10 tawaran utama yang berpaksikan keperluan sebenar Bangsa Johor, berdasarkan realiti ekonomi semasa serta kemampuan pelaksanaan," katanya.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mengeluarkan sebarang arahan kepada ahli parti itu supaya mengundi mana-mana parti lain di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian Bersatu sejak dahulu kekal sama iaitu hanya menyokong calon PN di kawasan yang ditandingi gabungan itu.
Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara.
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.