SHAH ALAM – Hari pertama operasi Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan kawasan utama di Lembah Klang mendapat reaksi positif daripada pengguna apabila ia berjalan lancar meskipun ada sedikit kesesakan.
Tinjauan wartawan yang menaiki LRT3 dari Stesen Glenmarie ke Stadium Shah Alam mendapati masa menunggu tren sekitar enam minit, sekali gus menunjukkan kekerapan perkhidmatan berada pada tahap baik
Suasana dalam tren sekitar jam 3 petang agak padat, namun masih terkawal dengan penumpang berdiri dan duduk dalam keadaan teratur.
Perjalanan juga dilihat lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.
Seorang pengguna, Razlan Ibrahim, 32, yang mengalami masalah penglihatan berkata, pengalaman menaiki LRT3 berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekeliruan pada struktur susun atur stesen yang masih baharu.
Katanya, bagaimanapun kebanyakan stesen LRT3 menawarkan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) seperti laluan 'tactile' paving' yang banyak membantu pergerakan dalam stesen, khususnya untuk menuju ke lif, platform dan tandas OKU.
“Alhamdulillah, hari ini saya ambil peluang untuk meneroka hampir semua stesen di laluan LRT3.
"Dari segi aliran pergerakan penumpang, saya rasa ia agak lancar walaupun masih dalam proses penambahbaikan.
“Lebih memudahkan saya apabila laluan 'tactile paving' ini banyak disediakan di setiap stesen dan ia membawa terus ke lokasi penting. Jadi lebih mudah untuk kami bergerak tanpa terlalu bergantung kepada bantuan orang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Beliau turut memuji sikap petugas stesen yang disifatkan sabar dan mesra dalam memberikan bantuan serta maklumat kepada penumpang.
“Saya banyak bertanya dan mereka layan dengan sangat baik,”ujarnya.
Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Emme Abdul Hassan, 43 memberitahu, pengalaman menaiki LRT 3 pada hari pertama sangat baik dan berjalan lancar.
Jelasnya, bagaimanapun dia tidak menyangka perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai walaupun hari pertama.
"Ramai yang hadir untuk mencuba perkhidmatan ini. Saya rasa orang memang sudah lama menunggu laluan ini dibuka, jadi mereka teruja untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan LRT 3.
"Dari segi kemudahan setakat ini saya belum nampak apa-apa yang perlu ditambah baik kerana ini merupakan kali pertama saya mencubanya.
"Masih terlalu awal untuk saya memberikan komen. Bagi saya, setakat ini semuanya berjalan dengan baik," ulasnya.
Bagi T Varshni, 17, laluan penjalan kaki perlu ditambah bagi memudahkan pelajar untuk ke stesen LRT.
"Hari ini perjalanan saya dari Bukit Tinggi ke Stadium Shah Alam. Pengalaman pertama menaiki LRT3 adalah baik tapi saya rasa perlu buat laluan jalan kaki untuk pelajar.
"Dalam masa sama saya pilih untuk menggunakan LRT kerana lebih selesa," ujarnya.