JOHOR BAHRU – Tindakan licik sepasang suami isteri menjadikan kediaman mereka sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan berakhir.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pasangan tempatan masing-masing berumur 40 dan 34 tahun diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dalam satu serbuan di Kulai kira-kira jam 10.50 pagi pada Khamis lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman pasangan berkenaan menemukan pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat keseluruhan 26.94 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3.59 juta.
"Jumlah rampasan itu dianggarkan mampu digunakan oleh kira-kira 90,277 penagih. Siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Ab Rahaman, kedua-dua suspek dipercayai aktif sebagai pengedar dadah.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine, manakala isterinya didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
"Semakan rekod lampau pula mendapati suspek lelaki mempunyai satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 1 Julai depan bagi membantu siasatan.
"Polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM206,752.
"Sitaan membabitkan Proton e.MAS 7, Nissan Almera, Chery Omoda, wang tunai RM25,000 serta pelbagai barang kemas.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.