WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) dan Iran didakwa bersetuju untuk menghentikan serangan balas yang dilancarkan sejak Jumaat lalu.
Axios yang memetik kenyataan seorang pegawai di Washington pada Ahad melaporkan, kedua-dua pihak bersetuju untuk kembali ke meja rundingan.
"Buat masa ini, AS dan Iran sepakat untuk menghentikan sebarang tindakan ketenteraan. Kapal boleh belayar semula dengan bebas di Selat Hormuz serta kawasan sekitarnya," jelas laporan itu lagi.
Teheran bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan untuk mengesahkan perkara tersebut.
Ia berulang kali menegaskan akan terus memegang kawalan ke atas laluan strategik Hormuz yang kembali berdepan sekatan susulan tindakan provokasi Washington yang melancarkan serangan ganas ke atas Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar Iran memaklumkan pihaknya mengadakan mesyuarat pertama dengan Oman berhubung pengurusan Selat Hormuz.
"Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Hormuz berlangsung ketika kunjungan kami ke Muscat. Kami turut bertukar pandangan mengenai pengurusan laluan strategik itu pada masa depan di samping meneliti isu-isu semasa berkaitan koridor tersebut," ujar Timbalan Menteri Luar, Kazem Gharibabadi di platform X.
Sebelum ini, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan pihaknya sedang mengambil langkah untuk mengawal pergerakan kapal di Selat Hormuz.
Beberapa pakar berpendapat ketegangan akan terus meningkat di laluan maritim penting tersebut.
Penganalisis dari Royal United Services Institute (RUSI) di London, HA Hellyer berkata, rundingan yang berlarutan disertai tekanan terkawal di Selat Hormuz boleh memberi kelebihan kepada Teheran. - AFP