Buku Seni Propaganda tulisan Budiman diterjemah ke bahasa Korea

Iklan
Budiman (tengah) menunjukkan karyanya dilancarkan di Convention and Exhibition Center (COEX), Seoul pada 27 Jun bersempena Pesta Buku Antarabangsa Seoul 2026.

KUALA LUMPUR - Buku Seni Propaganda hasil tulisan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi diterjemahkan ke dalam bahasa Korea, membuka lembaran baharu kepada karya intelektual Malaysia untuk menembusi pasaran pembaca antarabangsa.

Budiman berkata, beliau bersyukur apabila karya tersebut berjaya diterbitkan dalam bahasa Korea dan menyifatkannya sebagai satu sumbangan dalam memperkenalkan nama baik Malaysia di negara berkenaan.

Iklan
Iklan

Edisi bahasa Korea buku Seni Propaganda dilancarkan di Convention and Exhibition Center (COEX), Seoul pada 27 Jun bersempena Pesta Buku Antarabangsa Seoul 2026.

Ketika menghadiri sesi pelancaran dan program Book Talk, Budiman berkata, beliau gembira kerana berpeluang memperkenalkan karya penulis Malaysia kepada pembaca Korea Selatan.

Iklan

"Saya gembira dapat berada di sini, bertemu dengan kenalan baharu, bertukar pandangan dalam industri buku dan melihat bagaimana buku berperanan mencerdaskan sesuatu bangsa," katanya.

Beliau berkata, mesej yang dibawa menerusi Seni Propaganda bukan hanya relevan kepada masyarakat Korea Selatan, malah sesuai untuk masyarakat di seluruh dunia.

Iklan

Menurutnya, propaganda sering disalahertikan sebagai sesuatu yang negatif, sedangkan dalam konteks tertentu ia merupakan satu bentuk komunikasi strategik yang mampu membentuk identiti, meningkatkan pengaruh budaya serta memperkukuh imej sesebuah negara di peringkat antarabangsa.

Pelancaran edisi bahasa Korea itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap karya penulis tempatan yang berjaya menembusi pasaran luar negara, di samping memperluaskan capaian pembaca antarabangsa terhadap hasil penulisan intelektual Malaysia.