BANGI - Pelaksanaan kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) menerusi saluran terbuka sama sekali bukan 'pintu belakang' yang menafikan hak golongan berpendapatan rendah (B40).
Sebaliknya, ia merupakan satu mekanisme subsidi silang yang penting bagi membantu menampung kelestarian kewangan universiti serta menyokong kebajikan pelajar kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, saluran tanpa subsidi kerajaan itu tidak pernah mengganggu kuota kemasukan menerusi saluran UPUOnline.
Beliau menegaskan bahawa kuota UPU untuk pelajar tempatan sentiasa dipelihara oleh kerajaan, malah terus merekodkan peningkatan ketara pada setiap tahun.
Tambahnya, bagi tahun ini kerajaan turut mengarahkan penambahan lebih 3,000 tempat di UA khusus untuk kursus-kursus kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), perakaunan, dan undang-undang.
Jelas Md Amin, tawaran bagi saluran terbuka pula hanya akan mula dibuka kepada pemohon selepas semua proses rayuan kemasukan arus perdana diselesaikan sepenuhnya oleh pihak kementerian.
Beliau pada masa sama turut menafikan persepsi awam bahawa saluran tersebut adalah jalan mudah untuk anak golongan kaya memintas kelayakan akademik untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam.
"Setiap calon di saluran terbuka wajib memenuhi kelayakan akademik yang ketat, melepasi proses temu duga dan perlu mendapat kelulusan oleh Senat universiti.
"Mereka juga tertakluk kepada pematuhan piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan-badan profesional yang berkaitan. Tiada istilah kompromi kualiti akademik di UA," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam wacana Bicara Persada bertajuk"Pintu Belakang ke IPTA?: Menjernihkan Kekaburan" anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Isnin.
Turut menjadi panel dalam wacana tersebut ialah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali serta wakil Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.
Sementara itu, Noor Azlan berkata, pengenalan saluran terbuka wajar difahami oleh masyarakat dari sudut realiti ekonomi dan kekangan fiskal negara pada masa kini.
Menurutnya, meskipun sektor pendidikan menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2025, jumlah itu masih belum cukup untuk membiayai keseluruhan kos operasi universiti akibat nilai subsidi yuran yang ditanggung kerajaan terlalu tinggi.
"Oleh itu, saluran terbuka ini diwujudkan sebagai laluan alternatif tanpa subsidi, khusus bagi membolehkan golongan yang berkemampuan membayar kos pengajian pada kadar sebenar," jelasnya.
Pendapatan yang dijana menerusi yuran penuh itu, tambah beliau, tidak digunakan untuk kemewahan universiti, sebaliknya diagihkan semula sebagai subsidi silang kepada pelajar berkeperluan.
Bantuan tersebut disalurkan menerusi pelbagai bentuk termasuk penyediaan dana zakat, biasiswa, kerja penyelenggaraan fasiliti kampus serta pemerkasaan Program SULUNG untuk kelangsungan pelajar generasi pertama ke universiti.
Dalam perkembangan sama, Raduan menyarankan agar pentadbiran pendidikan tinggi negara mula beralih kepada model pembiayaan yang baharu bagi mengurangkan kebergantungan mutlak kepada kantung kerajaan dalam menghadapi landskap pendidikan tinggi global yang semakin mencabar.
Beliau mencadangkan agar budaya sumbangan filantropi atau wakaf pendidikan (endowment) diperkasakan dengan segera, selari dengan amalan universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard dan Universiti Al-Azhar.
"Kita perlu sedar bahawa sumber kerajaan adalah terhad dan perlu diagihkan kepada pelbagai sektor penting lain. Oleh itu, UA perlu lebih kreatif dalam menjana pendapatan sendiri tanpa membebankan rakyat secara keterlaluan.
"Lihat saja Universiti Harvard dan Al- Azhar, sebahagian besar kos operasi mereka dibiayai menerusi tabung endowment hasil sumbangan alumni, badan korporat, dan individu berkemampuan," katanya.
Menurutnya, amalan tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan universiti, malah membolehkan institusi berkenaan menawarkan lebih banyak biasiswa serta bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan.
Sebelum ini, Exco Kedah, Dr Haim Hilman mendakwa, isu berkenaan bukan lagi sekadar persepsi apabila kemasukan melalui saluran terbuka dilaporkan melibatkan kira-kira 11,860 pelajar setahun atau hampir 40,000 pelajar bagi satu kitaran pengajian empat tahun.
Beliau turut mempersoalkan saluran berkenaan ketika lebih 30,000 pemohon UPU bagi kemasukan ijazah sarjana muda pada 2025 tidak menerima tawaran walaupun layak bersaing berdasarkan merit.