PUTRAJAYA – Menjelang keputusan yang bakal menentukan nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pasukan pendakwaan menegaskan bahawa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, usaha berkenaan dilakukan sebaik mungkin demi menegakkan keadilan.
"Kami sudah buat kerja terbaik. Menang, kalah atau apa juga keputusan, saya serahkan kepada mahkamah," katanya ketika diminta mengulas rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan ahli politik berusia 34 tahun itu.
Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq optimis keputusan rayuan akhir berkenaan akan memihak kepada anak guamnya.
Beliau berkata, keyakinan itu bersandarkan fakta kes serta peruntukan undang-undang yang jelas.
“Tambahan pula, Mahkamah Rayuan sudah memberikan penghakiman yang sangat kukuh," katanya.
Nasib bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) bakal ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.
Keputusan yang dinanti-nantikan itu akan menentukan sama ada ahli politik berkenaan kekal bebas atau kembali berdepan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Datuk Che Mohd Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menyampaikan keputusan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum ini.
Prosiding itu merupakan medan rayuan terakhir bagi pihak pendakwaan selaku pemohon, manakala Syed Saddiq ialah responden.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk dirinya sendiri iaitu wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun, sebatan dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlah RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.