Bayi empat bulan antara enam mangsa terperangkap kepala air

Iklan
Pasukan penyelamat mengakses kawasan terjejas menggunakan sistem tali keselamatan bagi memastikan keselamatan anggota ketika meredah kawasan yang ditenggelami air. Foto ihsan bomba

YAN – Seorang bayi perempuan berusia empat bulan bersama lima lagi ahli keluarganya berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam fenomena kepala air yang mengakibatkan limpahan air sungai memasuki kawasan Kampung Permatang Keramat, Jalan Batu Hampar di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.16 pagi itu, enam mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita dilaporkan terperangkap selepas paras air meningkat secara mendadak susulan fenomena kepala air yang berlaku di kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mohd Farid Mohd Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum mengarahkan sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 10.30 pagi dan mendapati berlaku fenomena kepala air sehingga mengakibatkan beberapa mangsa terperangkap.

Iklan

“Operasi turut menggunakan tali penyelamatan dan peralatan Personal Flotation Device (PFD) bagi membantu mengeluarkan mangsa dari kawasan berisiko,” katanya pada Isnin.

Semua mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Foto ihsan bomba

Iklan

Beliau berkata, semua mangsa berjaya dibawa keluar dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, selepas diselamatkan, kesemua mangsa diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk tindakan lanjut.

Operasi berjaya dikawal pada jam 11.17 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya dua minit kemudian pada jam 11.19 pagi.

Turut membantu di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).