GEORGE TOWN – Pemilik bangunan lama dan usang yang gagal memastikan keselamatan premis masing-masing boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk pendakwaan selain diarahkan melakukan kerja pembaikan atau merobohkan bahagian bangunan yang berbahaya.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh mengambil tindakan sekiranya bangunan berkenaan berada dalam keadaan berbahaya, mengalami kerosakan serius atau mengancam keselamatan orang awam.
Menurutnya, tindakan boleh diambil menerusi Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi menghapuskan kacau ganggu yang dikenal pasti.
“Bagi bangunan yang berada dalam keadaan berbahaya atau hampir runtuh, MBPP juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 83, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) termasuk mengarahkan pemilik melaksanakan kerja pembaikan, merobohkan bahagian bangunan yang berbahaya atau mengambil langkah keselamatan yang diperlukan.
“Sekiranya pemilik gagal mematuhi notis atau arahan yang sah, tindakan penguatkuasaan lanjut termasuk pendakwaan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) mengenai usaha MBPP memastikan keselamatan bangunan lama dan usang di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, termasuk kerjasama dengan pemilik bangunan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dua pelancong Sri Lanka iaitu lelaki berusia 66 tahun dan wanita 55 tahun cedera dalam kejadian runtuhan struktur bangunan di sebuah premis bangunan warisan di Lebuh Armenian di sini.
Kejadian yang dilaporkan pada jam 1.11 petang, Selasa itu melibatkan runtuhan batu dan kayu dari bahagian rasuk di tingkat sebuah bangunan Poh Thye Hoe yang berusia lebih 81 tahun.
Tambah Mooi Lye, MBPP juga boleh melaksanakan tindakan segera yang dibenarkan undang-undang bagi melindungi orang awam manakala kos kerja berkaitan boleh dituntut daripada pihak bertanggungjawab sekiranya diperuntukkan undang-undang.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, sebanyak 63 bangunan usang masih dikenal pasti di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town berdasarkan rekod pemantauan 2026 berbanding 510 bangunan pada 2008.
Menurutnya, jumlah bangunan usang yang dikenal pasti pada 2008 merangkumi 223 bangunan di Zon Teras dan 287 bangunan di Zon Penampan.
“Sejak pengiktirafan tersebut, kerajaan negeri bersama MBPP, pemilik bangunan dan pihak berkepentingan telah melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan, pembaikan dan penyelenggaraan bangunan warisan secara berterusan.
“Pengurangan ini mencerminkan kemajuan usaha pemuliharaan dan pemantauan bangunan warisan bagi memastikan keselamatan, kelestarian serta pemeliharaan nilai warisan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” katanya.
Beliau berkata, MBPP dengan kerjasama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan bangunan lama dan usang bagi melindungi penghuni, pengguna bangunan serta orang awam, selain memastikan nilai sejarah dan seni bina warisan terus terpelihara.
Katanya, MBPP melaksanakan inventori, pemeriksaan dan pemantauan berkala terhadap keadaan bangunan warisan bagi mengenal pasti kerosakan, kemerosotan struktur serta risiko keselamatan yang memerlukan tindakan susulan, termasuk pemeriksaan lanjut, kerja pembaikan dan penguatkuasaan.
"Antara langkah terkini yang diambil ialah pelantikan sebuah syarikat kawalan anai-anai pada 11 September lalu untuk menjalankan pemeriksaan visual terhadap 3,853 bangunan warisan.
“Pemeriksaan itu merangkumi 82 Bangunan Warisan Kategori I dan 3,771 Bangunan Warisan Kategori II serta dijangka bermula November 2026.
“Selain itu, MBPP sedang dalam proses melantik firma perunding kejuruteraan berkelayakan bagi menjalankan penilaian awal dan pemeriksaan visual struktur Bangunan Warisan Kategori II untuk mengenal pasti kerosakan serta kemerosotan struktur yang berpotensi menjejaskan keselamatan,” jelasnya.
Menurut Mooi Lye, MBPP turut mengadakan sesi libat urus bersama pemilik bangunan lama dan usang pada 19 September lalu bagi meningkatkan kesedaran serta menerangkan tanggungjawab mereka dalam memastikan bangunan berada dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik.
"Pada September, MBPP turut mengemukakan surat kepada Klan Cina dan pertubuhan bukan kerajaan yang memiliki bangunan di dalam Tapak Warisan Dunia supaya melantik Jurutera Profesional Berdaftar untuk memeriksa dan mengesahkan keselamatan struktur bangunan masing-masing.
"Salinan laporan pemeriksaan dan pengesahan berkenaan juga diminta dikemukakan kepada MBPP untuk tujuan rekod," ujarnya.
Bagi permohonan pelan yang melibatkan bangunan di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, beliau berkata, MBPP menetapkan syarat tambahan berkaitan keselamatan kebakaran dan struktur mengikut keperluan teknikal.
Menurut beliau, ia termasuk keperluan mengemukakan laporan keselamatan struktur yang diperakui Jurutera Profesional Berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) sebelum pelepasan pelan bangunan yang diluluskan.
“Pemilik bangunan juga perlu menjalankan pemeriksaan dan mengemukakan laporan keselamatan struktur sekiranya berlaku kerosakan atau kemerosotan struktur yang menjejaskan keselamatan atau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun, mengikut mana-mana yang terdahulu,” katanya.
Dalam usaha menggalakkan pemuliharaan bangunan warisan, Mooi Lye berkata, MBPP turut mengambil langkah memudah cara urusan pembaikan dan pemuliharaan melalui penambahbaikan prosedur permohonan pelan serta penyediaan khidmat nasihat kepada pemilik.
Menurutnya, antara inisiatif dilaksanakan ialah pembatalan keperluan permohonan Pelan Bangunan Prarundingan Warisan mulai 1 Januari 2024 bagi mempercepat proses kelulusan dan mengurangkan birokrasi dalam pelaksanaan projek konservasi serta penggunaan semula bangunan warisan.
"Selain itu, MBPP menambah baik garis panduan berkaitan penyerahan tanah bagi tujuan pelebaran jalan mulai 1 Oktober 2025 dengan menyediakan mekanisme caj gantian sebagai alternatif kepada penyerahan tanah tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang berkuat kuasa.
"Terbaharu, mulai 1 Julai 2026, MBPP turut menambah baik prosedur permohonan pelan bagi pertukaran kegunaan bangunan daripada kediaman kepada rumah kedai atau kedai tetap termasuk kerja pindaan dan tambahan," ujarnya.
Kata beliau lagi, langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan semula bangunan secara optimum tertakluk kepada keperluan perancangan, keselamatan dan pemuliharaan warisan yang berkuat kuasa.
“Kerajaan negeri berharap pemilik bangunan dapat terus melaksanakan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penggunaan semula bangunan warisan bagi memastikan keselamatan orang awam serta kelestarian warisan George Town terus terpelihara.
"Kerajaan negeri melalui MBPP dengan kerjasama GTWHI akan terus memperkukuh pemantauan keselamatan bangunan warisan dan meningkatkan kerjasama dengan pemilik.
"Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemilik yang gagal mematuhi keperluan keselamatan bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terpelihara tanpa mengabaikan kepentingan pemeliharaan warisan George Town," katanya.