PERAI – Sebanyak 27 koperasi di Pulau Pinang menerima bantuan menerusi Geran Mutiara Madani bagi memperkukuh keupayaan perniagaan, meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan anggota.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, bantuan berkenaan perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi memastikan ia mampu memberikan impak nyata terhadap pertumbuhan perniagaan koperasi.
Menurutnya, setiap peruntukan yang diterima perlu digunakan mengikut tujuan diluluskan selain disertai perancangan perniagaan yang jelas serta pemantauan pelaksanaan berkesan.
“Matlamat kita bukan sekadar menyalurkan bantuan tetapi memastikan bantuan tersebut menghasilkan manfaat yang nyata, termasuk peningkatan produktiviti, pengembangan pasaran, pertumbuhan jualan dan penjanaan pendapatan anggota.
“Saya berharap kejayaan dan kemajuan 27 koperasi ini dapat menjadi contoh kepada koperasi lain untuk terus meningkatkan keupayaan perniagaan, memperkukuh tadbir urus dan meneroka peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Koperasi Pulau Pinang 2026 di pekarangan Masjid Sembilang, Seberang Jaya pada Ahad.
Mohamad berkata, gerakan koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat kerana ia bukan sekadar entiti perniagaan berorientasikan keuntungan malah menjadi platform penyatuan modal mikro dan kerjasama ekonomi dalam kalangan anggota.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Perangkaan Koperasi Malaysia 2025 yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pulau Pinang mempunyai 819 koperasi dengan jumlah anggota seramai 171,713 orang.
"Jumlah syer koperasi di negeri ini pula mencecah RM411.7 juta manakala pegangan saham dan yuran anggota berjumlah RM1.29 bilion.
“Gerakan koperasi mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai platform pembangunan sosioekonomi yang menonjolkan semangat kebersamaan dan kerjasama sesama anggota.
“Melalui koperasi, masyarakat dapat menggabungkan sumber, kepakaran dan tenaga untuk menjalankan aktiviti ekonomi secara bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, penganjuran Festival Koperasi Pulau Pinang 2026 merupakan inisiatif tepat pada masanya bagi memperluas pasaran, memperkukuh kerjasama perniagaan serta merakyatkan perkhidmatan koperasi hingga ke peringkat akar umbi.
Menurutnya, festival berkenaan bukan sekadar platform pameran dan jualan sebaliknya perlu dimanfaatkan koperasi untuk memperkenalkan produk, mendapatkan maklum balas pengguna serta membina jaringan perniagaan baharu.
Beliau turut menekankan tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian iaitu memperkukuh kuasa beli rakyat menerusi Jualan Madani Koperasi (JMK), memperluas pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan koperasi serta memperkukuh kapasiti koperasi melalui sokongan agensi dan pembangunan keusahawanan.
"JMK yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus semasa sesi Happy Hour merupakan antara usaha membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan khususnya ketika kos sara hidup terus menjadi perhatian.
“Usaha menyediakan barangan pada harga berpatutan amat penting. JMK membuka peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan keperluan, di samping memberikan ruang kepada koperasi meningkatkan jualan dan memperkenalkan produk mereka kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa koperasi supaya tidak hanya bergantung kepada pelanggan sedia ada atau pasaran setempat sebaliknya berani meneroka peluang baharu menerusi penjenamaan, pemasaran digital dan kerjasama pengedaran.
Dalam masa sama, Mohamad berkata, penglibatan golongan belia dalam gerakan koperasi perlu dipertingkatkan bagi memastikan model perniagaan itu terus relevan dengan perkembangan ekonomi semasa.
Katanya, bidang perniagaan digital, pemasaran dalam talian, pertanian moden, teknologi, perkhidmatan profesional dan ekonomi kreatif menawarkan pelbagai peluang yang boleh diterokai golongan muda.
“Kita mahu melihat lebih banyak koperasi yang progresif, celik digital dan berani mencuba pendekatan perniagaan baharu,” katanya.
Ujar beliau lagi, Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberikan perhatian kepada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi rakyat termasuk memperkasakan digitalisasi gerakan koperasi selaras dengan visi Penang2030.
Mohamad menambah, kejayaan gerakan koperasi tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah koperasi yang didaftarkan semata-mata sebaliknya melalui keaktifan perniagaan, pertumbuhan pendapatan anggota dan sumbangan terhadap kesejahteraan masyarakat.
Festival Koperasi Pulau Pinang 2026 yang julung kali dianjurkan itu merupakan inisiatif MMK Pembangunan Koperasi dengan kerjasama SKM, Jawatankuasa Masjid Sembilang dan Al Hady Center.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang festival berkenaan, termasuk pameran dan jualan koperasi, pertandingan mewarna, khat, azan, memanah, dapur komuniti, ceramah perdana, Coop Family Walk serta program tukar minyak hitam motosikal.