Anggota bomba didakwa memandu cuai langgar kanak-kanak 4 tahun

Iklan
Mohammad Shuhaili tiba bersendirian di mahkamah bagi mendengar pertuduhan. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK – Seorang anggota bomba dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara cuai dan melanggar seorang kanak-kanak perempuan hingga cedera parah dalam kejadian di sebuah chalet di sini, awal tahun ini.

Tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova melanggar Nur Afia Raisha Muhamad Shamsul, 4, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada jam 10.45 pagi, 3 Januari lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan cuai di kawasan parkir chalet berkenaan.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid yang mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Iklan

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Habil Zainal Abidin yang mewakili tertuduh bagaimanapun, memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu bomba di Pulau Pinang dengan gaji bersih kira-kira RM2,000 sebulan.

Menurutnya, tertuduh yang mempunyai empat orang anak turut menanggung isteri yang bekerja di sebuah kilang selain menyara kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibebaskan selepas menjelaskan jaminan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mangsa dirawat di unit rawatan rapi Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu kerana cedera parah pada bahagian abdomen, patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk akibat dilanggar ketika menyertai program Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di daerah ini.

Kanak-kanak itu juga anak bongsu daripada tiga beradik kepada seorang anggota bomba wanita yang bertugas di Pahang.