PADANG BESAR – Cubaan membawa masuk dua wanita warga asing secara tidak sah ke negara ini gagal apabila tindakan mencurigakan seorang pemandu wanita warga Thailand berjaya dikesan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Ahad.
Kejadian berlaku jam 11 pagi ketika pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perlis bertugas di Kaunter Pemeriksaan Kenderaan Keluar menjalankan pemeriksaan rutin sebelum mengesan gerak-geri mencurigakan pemandu terbabit yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis bernombor pendaftaran Thailand.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan dua wanita tersebut yang dipercayai bersembunyi di bahagian tempat duduk belakang bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua wanita berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, susulan penemuan itu, seorang wanita warga Thailand yang merupakan pemandu kenderaan serta dua wanita iaitu seorang warga Myanmar dan seorang warga Vietnam ditahan untuk siasatan lanjut.
"Ketiga-tiganya berusia 27 hingga 60 tahun direman selama dua minggu untuk membantu siasatan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan tahap kecekapan dan kewaspadaan tinggi pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara dalam mengesan sebarang cubaan melanggar undang-undang imigresen.
Menurutnya, tindakan pantas pegawai barisan hadapan berjaya menghalang cubaan kemasukan warga asing tanpa dokumen sah sekali gus memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, JIM Negeri Perlis turut menyertai Ops Bersepadu di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 27, Padang Besar pada Jumaat lalu yang melibatkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Sepanjang operasi tersebut, seramai 146 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Thailand dan Singapura diperiksa dan tiada kesalahan imigresen dikesan.
Pada masa sama, Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Perlis terus mempergiat operasi pemantauan, pengesanan, verifikasi dan perekodan kehadiran warga asing di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.