PETALING JAYA - Seorang individu memandu secara berbahaya sehingga merempuh dua kenderaan lain sebelum bertindak melarikan diri dalam kejadian tular di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu di media sosial pada jam 7.45 malam Ahad.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.10 petang membabitkan sebuah Perodua Kembara yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
"Selepas kemalangan, pemandu berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang cedera ringan dibawa ke Hospital Sunway untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, polis kini sedang mengesan pemandu Perodua Kembara terbabit yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Sarjan Kumaran Murugaya di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.
"Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan sebuah Perodua Kembara dipandu secara berbahaya di Lebuhraya Persekutuan sebelum merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal sebelum pemandunya melarikan diri dari lokasi kejadian.