GANDINGAN Noraqilah Maisarah Ramdan-Ong Xin Yee muncul juara beregu wanita Pusingan Kedua Kejohanan Badminton Bawah 21 Tahun (B-21) Kebangsaan BAM 2026 selepas menewaskan rakan sepasukan, Dania Sofea Zaidi-Tan Zhing Hui, dalam aksi final yang berlarutan hampir sejam.
Pilihan kedua kejohanan di di Dewan Badminton Pahang BA, di Kuantan di sini itu bangkit daripada kekalahan set pertama 14-16 sebelum menguasai dua set berikutnya 15-10, 15-11 untuk merangkul kejuaraan.
Iklan
Iklan
Dalam acara perseorangan wanita, pilihan kedua Oo Shan Zhi menepati ramalan apabila menewaskan pilihan utama Lim Zhi Shin 15-6, 19-17 dalam tempoh 35 minit bagi muncul juara.
Sementara itu, pasangan Tan Zhi Yang-Vannee Gobi mengungguli acara beregu campuran selepas bangkit daripada kekalahan set pertama 13-15 untuk menewaskan Nicole Tan Pei En-Loh Ziheng 15-11, 15-12.
Beregu lelaki, gandingan Muhammad Nur Azhar Zunaide dari Sabah dan Siau Yu Hang dari Johor mencipta kejutan apabila menumbangkan pasangan pilihan utama Nixon Ang Jia Shen-Shim Hymns Isaiah 15-10, 15-12 dalam masa 43 minit.
Sementara saingan perseorangan lelaki pula, Muhammad Haziq Mohd Najib dari Selangor melakar kemenangan bergaya ke atas pemain BAM, Roslie Razeeq Danial, 15-10, 15-7 sekali gus meraih kejuaraan kebangsaan pertamanya tahun ini.
Artikel Berkaitan