Urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily sebagai KP AKPS akan dimuktamadkan - KDN

Iklan
Mohd Shuhaily ketika hadir ke Mahkamah Masjitret Sepang, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang sebelum ini berdepan dengan dua pertuduhan di mahkamah sesyen, masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan pegawai berkenaan.

Iklan
Iklan

"KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa," katanya pada Rabu.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Iklan

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan memohon untuk dibicarakan.

Dalam pada itu, KDN menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.

Iklan

"Secara umumnya, penubuhan AKPS yang baru mencecah tahun kedua ini adalah untuk memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

"Sebagai agensi penting yang berpegang teguh pada pengukuhan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin, keutamaan KDN adalah akan memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.

"Dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai, KDN turut memberikan perhatian kepada kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas di AKPS," ujarnya.

Kedudukan Mohd Shuhaily sebagai orang nombor satu agensi itu menjadi tanda tanya apabila beliau tidak hadir pada majlis Majlis Sambutan Hari Sambutan Ulang Tahun Ke-2 AKPS yang berlangsung di sebuah hotel, di Sepang baru- baru ini.

Malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang sepatutnya merasmikan sambutan itu diwakili Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Awang Alik Jeman untuk menyempurnakan majlis berkenaan.