RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin berikutan mata wang tempatan terus mendapat sokongan yang baik daripada harga minyak mentah yang rendah.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.0855/0950 berbanding dolar AS daripada 4.0860/0910 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent, masing-masing berada pada US$69.87 setong dan US$72.46 setong manakala Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka meneruskan rundingan mereka.
"Sehubungan itu, dolar AS/ringgit dijangka berada pada RM4.08 hingga RM4.10 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound kepada 5.3929/4054 daripada 5.4013/4079 semasa ditutup pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.6526/6634 daripada 4.6605/6662 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5258/5318 daripada 2.5283/5316 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1560/1639 daripada 3.1581/1625 semasa ditutup pada Jumaat lepas, hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 227.9/228.6 daripada 227.9/228.3 dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.68 daripada 6.66/6.67.
Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2284/2627 daripada 12.2445/2643 sebelum ini. - Bernama