MERAK Jalanan tersenyum sendiri selepas mendengar jawapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila ditanya soal perancangan kahwin dengan penyanyi, Bella Astillah.
Ramai yang mengharapkan jawapan 'ya' atau 'tidak'
Namun jawapan yang diberikan tidak mengiyakan dan tidak menafikan, sebaliknya beliau memilih untuk menunggu keputusan rayuan akhir esok (30 Jun) sebelum membuka sebarang cerita lanjut.
Bagi Merak Jalanan, jawapan itu bukanlah cubaan mengelak. Ada waktunya dalam kehidupan, seseorang perlu menyelesaikan perkara yang lebih besar sebelum membuka lembaran baharu.
Dalam keadaan beliau masih menanti keputusan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, sudah tentu fokusnya lebih tertumpu kepada soal masa depan dan maruah diri.
Apa yang menarik perhatian Merak Jalanan ialah ungkapan Syed Saddiq yang menganggap Bella dan anak-anak sebagai keluarga. Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan hubungan yang terjalin, tanpa perlu terburu-buru mengumumkan tarikh perkahwinan.
Sudah menjadi lumrah masyarakat kita, apabila dua insan sering dilihat bersama, soalan pertama yang muncul 'Bila nak kahwin?' Seolah-olah tarikh pernikahan lebih penting daripada perjalanan hidup yang sedang ditempuhi.
Hakikatnya, soal jodoh bukan perlumbaan. Lebih baik membina rumah tangga dalam keadaan tenang daripada tergesa-gesa kerana desakan orang ramai.
Merak Jalanan percaya, jika keputusan mahkamah nanti memihak kepada Syed Saddiq, mungkin selepas itu barulah rakyat boleh kembali bertanya mengenai perancangan perkahwinan mereka. Yang penting, jangan terlalu menekan atau memaksa sesuatu yang belum sampai masanya.