KETIKA rakyat masih bergelut dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, satu lagi beban mula mencuri perhatian ramai iaitu bil elektrik yang didakwa meningkat secara mendadak. Ramai mengadu bil elektrik bulan Jun dikatakan melambung terlampau tinggi.
Media sosial sejak beberapa minggu lalu dipenuhi pelbagai rungutan pengguna. Kewujudan laman 'Bil elektrik TNB melambung tinggi ke?' di FB membincangkan isu kenaikan bil elektrik berjaya menarik puluhan ribu pengikut dalam tempoh yang singkat.
Perkembangan itu menunjukkan isu berkenaan bukan lagi aduan terpencil, sebaliknya kebimbangan yang dikongsi ramai pengguna. Rakan saya, Tun Nila mendakwa bilnya meningkat daripada sekitar RM100 kepada hampir RM200. Rizz pula memaklumkan bil bulanan mencecah hampir RM600 berbanding sekitar RM300 sebelum ini.
Penjelasan yang diberikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyatakan bahawa Semenanjung Malaysia kini menggunakan struktur tarif baharu di bawah Tempoh Regulatori Keempat (RP4) yang berkuat kuasa sejak Julai 2025.
Melalui kaedah ini, bil elektrik dipecahkan kepada beberapa komponen termasuk kos penjanaan, kapasiti bekalan dan penggunaan rangkaian. Pada masa sama, mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) diperkenalkan bagi menggantikan sistem Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT). Melalui kaedah tersebut, kadar pelarasan berubah mengikut harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang.
Secara teknikal, penjelasan itu mungkin benar. Namun dari sudut pengguna, apa yang lebih dirasai ialah jumlah yang perlu dibayar pada setiap hujung bulan. Rakyat tidak melihat formula, mereka melihat angka pada bil dan jumlah yang perlu mereka bayar.
Apa yang menimbulkan persoalan ialah trend pelarasan AFA yang semakin mengecilkan rebat kepada pengguna. Pada November 2025, pengguna masih menikmati rebat sebanyak 8.90 sen bagi setiap kilowatt sejam. Namun selepas itu, rebat tersebut semakin berkurangan selama beberapa bulan berturut-turut sebelum bertukar menjadi surcaj sebanyak 2.59 sen pada Jun 2026.
Ini bermakna peningkatan bil elektrik bukan semata-mata berpunca daripada cuaca panas atau penggunaan pendingin hawa yang lebih tinggi. Sebaliknya, perubahan mekanisme pelarasan kos telah mula memberi kesan kepada pengguna sejak beberapa bulan lalu.
Lebih membimbangkan, unjuran kadar AFA bagi bulan-bulan akan datang menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi. Jika trend ini berterusan, pengguna berkemungkinan berdepan bil lebih mahal menjelang penghujung tahun.
Dalam erti kata lain, kerajaan dan TNB tidak menaikkan tarif asas ketika ini, sebaliknya pengguna berdepan kesan pelarasan kos bahan api yang berubah mengikut pasaran dunia.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, langkah terbaik ialah menjadi pengguna bijak tenaga. Penggunaan elektrik secara cekap, pemantauan penggunaan melalui aplikasi dan amalan penjimatan tenaga mampu membantu mengawal perbelanjaan isi rumah.
Namun, penjimatan sahaja mungkin tidak mencukupi jika pelbagai kos terus meningkat. Pengguna turut berdepan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar 8 peratus bagi beberapa perkhidmatan tertentu.
Keadaan ini menyebabkan rakyat merasakan beban yang ditanggung semakin bertambah. Jika keresahan ini tidak ditangani dengan baik, bil elektrik bukan lagi sekadar isu utiliti, sebaliknya boleh menjadi isu kos sara hidup lebih besar!
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan