Masa depan Istana Buckingham cetus tanda tanya

Iklan
Pengubahsuaian istana selama sedekad bernilai RM2.01 bilion itu dijadualkan siap pada tahun depan. Foto: Agensi

LONDON - Keputusan Raja Charles III dan Permaisuri Camilla untuk tidak menjadi penghuni Istana Buckingham selepas kerja pengubahsuaian besar-besaran yang menelan kos tinggi dan mengambil masa 10 tahun disiapkan telah menimbulkan persoalan mengenai masa depan simbol monarki Britain itu serta mencetuskan kritikan banyak pihak.

Istana yang terletak di tengah London itu merupakan salah satu bangunan paling terkenal di dunia dan telah menjadi kediaman rasmi raja-raja terdahulu sejak 1837 apabila Ratu Victoria memulakan pemerintahan selama lebih enam dekad.

Iklan
Iklan

Sejarah keluarga diraja berkait rapat dengan kediaman megah berjumlah 755 bilik yang menghadap The Mall itu.

Raja George VI dan Permaisuri Elizabeth terus menetap di situ semasa Perang Dunia Kedua manakala Charles dilahirkan di Istana Buckingham tersebut pada November 1948.

Iklan

Daripada sambutan kemenangan perang, detik selepas perkahwinan hingga kemunculan tahunan pada ulang tahun kelahiran, balkoni istana itu menjadi pentas kepada beberapa momen paling berharga dan paling banyak dirakam dalam sejarah monarki moden.

Menerusi pengumuman pada Khamis bersama laporan kewangan tahunan diraja, Charles dan Camilla memaklumkan bahawa mereka akan terus tinggal di Clarence House yang terletak berhampiran walaupun projek pengubahsuaian istana bernilai 369 juta pound (RM2.01 bilion) itu dijadualkan siap pada tahun depan.

Iklan

Pasangan diraja itu mendiami Clarence House sejak mereka berkahwin pada 2005.

“Baginda amat menyayangi Istana Buckingham dan sangat menghormati peranannya dalam kehidupan diraja dan awam. Ia akan terus menjadi pusat aktiviti diraja dalam segala aspek,” ujar jurucakap itu sambil menegaskan bahawa istana tersebut akan kekal sebagai 'pusat upacara dan operasi kehidupan diraja'.

Pihak istana turut memaklumkan Raja Charles sebagai raja pertama yang mendedahkan bayaran cukai peribadinya dengan jumlah lebih 30 juta pound (RM164 juta) sejak menaiki takhta pada September 2022.

Pendedahan itu dianggap sebahagian daripada 'komitmen terhadap ketelusan' ketika rekod kewangan diraja semakin mendapat perhatian umum.

Reaksi kurang senang

Langkah luar biasa itu mendapat liputan meluas di Britain dan luar negara, namun keputusan untuk tidak berpindah ke Istana Buckingham turut menerima kritikan.

Charles dan Camilla memaklumkan bahawa mereka akan terus tinggal di Clarence House yang terletak berhampiran istana tersebut. Foto: Agensi

"Mengapa perlu melabur dalam pengubahsuaian besar yang dibiayai oleh wang pembayar cukai jika akhirnya raja dan permaisuri tidak akan menetap di situ sebagai kediaman rasmi?" soal pakar diraja, Ed Owens.

Kerja pengubahsuaian selama sedekad itu melibatkan penggantian dandang, kabel elektrik dan paip bagi mengurangkan risiko kebakaran serta banjir. Ia dijangka siap pada Mac 2027.

Akhbar tabloid Britain turut menunjukkan reaksi skeptikal.

“Rumah kosong yang menelan belanja besar,” lapor muka depan Daily Mirror. Daily Express pula menggunakan tajuk sindiran tajam berbunyi: 'Istana tidak layak untuk seorang raja!'.

“Keputusan meninggalkan Istana Buckingham adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran raja-raja terdahulu,” hujah The Sun sambil mengimbas kembali bahawa Raja George VI dan isterinya, Ratu Elizabeth tetap tinggal di situ walaupun istana itu dibom sembilan kali oleh Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Bagi meredakan pelbagai spekulasi, pihak istana menjelaskan pengaturan kediaman baharu itu adalah 'perubahan daripada amalan lama dan pengiktirafan kepada masa depan' selain turut mengambil kira 'peluang akses awam yang lebih luas' dalam keputusan tersebut.

Tarikan ke-75 paling popular

Ketika ini, akses ke Istana Buckingham hanya dibuka kepada orang awam di bahagian bilik-bilik negara dan sayap timur semasa musim panas manakala sayap timur turut boleh dilawati secara terhad dari Oktober hingga Mac.

Pasangan diraja itu mendiami Clarence House sejak mereka berkahwin pada 2005. Foto: Agensi

Pada tahun lalu, ia dikunjungi kira-kira 580,000 pelawat, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan ke-75 paling popular di Britain.

Ketua Eksekutif kumpulan antimonarki Republic, Graham Smith berkata, istana tersebut sepatutnya dibuka sepenuhnya sepanjang tahun selepas pengubahsuaian dibiayai awam itu.

Owens pula berpendapat ia bukan lagi kediaman peribadi dan milik orang awam. Masyarakat dan ahli politik Britain berhak untuk menentukan masa depan bangunan itu.

Masih belum jelas sama ada istana itu akan kembali menjadi kediaman rasmi raja selepas Charles III turun takhta.

Hal ini kerana, pewaris baginda, Putera William bersama keluarganya dilaporkan sudah berpindah ke Forest Lodge di Windsor Great Park, barat London pada tahun lalu.

Pada waktu itu, The Sun menerusi laporan mereka mendakwa ia akan menjadi 'kediaman mereka buat selama-lamanya'. - AFP