Sultan Pahang seru lebih banyak IPT tawar biasiswa kepada pelajar di Pulau Tioman

Iklan
Al-Sultan Abdullah

KUANTAN - Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya di Pahang tampil menghulurkan biasiswa kepada pelajar di Pulau Tioman untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Baginda bertitah inisiatif yang diperkenalkan IJN University College (IJNUC) menerusi pengurniaan biasiswa kepada dua pelajar cemerlang Pulau Tioman wajar dijadikan contoh oleh universiti lain dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dari kawasan luar bandar dan kepulauan.

Iklan
Iklan

"Mana-mana universiti dari Pahang juga harus tampil membantu anak-anak kita di Pulau Tioman. Walaupun mereka berada jauh dari tanah besar, mereka tetap anak-anak kita yang perlu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran," titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Ahad. 

Menurut hantaran itu, Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Biasiswa Institut Jantung Negara (IJN) kepada dua pelajar cemerlang Pulau Tioman yang akan melanjutkan pengajian di IJNUC.

Iklan

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan dua penerima biasiswa berkenaan yang dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik serta merit masing-masing.

Al-Sultan Abdullah bertitah agar kedua-dua pelajar tersebut memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajian dan menjadikan kejayaan sebagai satu-satunya matlamat.

Iklan

"Failure is not an option (Kegagalan bukan pilihan). Jangan fikir tentang kegagalan. Tentukan kamu berjaya dalam tempoh pengajian ini kerana kamu akan menjadi tanda aras kepada anak-anak muda Pulau Tioman yang lain," titah baginda.

Baginda bertitah kedua-dua pelajar dinasihatkan supaya menjaga disiplin, mengurus masa dengan baik serta sentiasa memberi fokus kepada pelajaran sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Menurut hantaran itu, Sultan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada IJN yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang perubatan, malah sentiasa menyokong pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Pahang.

"Komitmen berterusan IJN untuk turun padang membantu masyarakat termasuk di kawasan pedalaman membuktikan kesungguhan institusi itu dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat negeri ini,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan terhadap kecemerlangan IJN sebagai antara institusi perubatan terbaik di rantau Asia, malah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa atas kepakaran serta kecemerlangannya dalam bidang rawatan jantung.

"Saya amat menghargai kerjasama pihak IJN. Mereka bukan sahaja menjaga kesihatan saya, malah setiap tahun tampil bersama kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program CSR demi kepentingan rakyat, termasuk di kawasan pedalaman seperti Kampung Bantal. Kesungguhan ini amat bermakna kepada saya, kerajaan dan seluruh rakyat Pahang," titah baginda. - Bernama