Remaja 18 tahun pelihara helang merah, musang tanpa permit dicekup

Iklan
Seorang remaja berusia 18 tahun dicekup oleh PGA selepas dipercayai memelihara pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk seekor helang merah, burung hantu carik kafan dan dua ekor musang pandan tanpa permit di Kampung Bunuhan, Tumpat pada Ahad. - FOTO: PGA

TUMPAT - Seorang remaja berusia 18 tahun dicekup oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai memelihara pelbagai spesies hidupan liar dilindungi termasuk seekor helang merah, burung hantu carik kafan dan dua ekor musang pandan tanpa permit di Kampung Bunuhan di sini pada Ahad.

Serbuan kira-kira jam 3.15 petang itu dijalankan anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menerusi Op Taring Wawasan.

Iklan
Iklan

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota bertugas telah meminta suspek mengemukakan lesen atau permit sah bagi pemilikan hidupan liar berkenaan, namun gagal berbuat demikian.

"Suspek kemudian ditahan dan semua hidupan liar yang ditemui dirampas untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Ujar beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,500 dengan burung helang merah sahaja dianggarkan bernilai RM20,000.

Helang merah dirampas dianggarkan bernilai RM20,000. - FOTO: PGA

Iklan

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai rekod lampau mendakwa semua haiwan berkenaan adalah milik bapanya dan dia hanya bertanggungjawab menjaga, merawat serta memberi makan kepada haiwan tersebut.

"Suspek memaklumkan hidupan liar itu diperoleh bapanya dari kawasan Gua Musang dan telah dipelihara sejak kira-kira empat tahun lalu.

"Ketika serbuan dijalankan, bapanya dikatakan sedang bekerja sebagai buruh binaan di Gua Musang dan gagal dihubungi," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tambah beliau, semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Perhilitan Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut.

"Risikan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras aktiviti pemilikan, pemeliharaan dan perdagangan hidupan liar dilindungi tanpa permit yang sah.

"Usaha ini penting bagi memastikan spesies hidupan liar yang semakin terancam terus dilindungi daripada eksploitasi," katanya.