KINABATANGAN - Seorang lelaki maut selepas disyaki mengalami serangan jantung sehingga menyebabkan kenderaan pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam parit di Kampung Paris 2 di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, Salim Duduk, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
Isterinya berusia 53 tahun yang turut berada dalam kenderaan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa bersama isteri dalam perjalanan ke arah Lahad Datu.
"Menurut isteri mangsa, sebaik tiba di lokasi mangsa tiba-tiba mengerang kesakitan dan kenderaan yang dipandu terus terbabas ke dalam parit. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
"Menurut isterinya juga, sebelum kejadian mangsa ada sejarah kesihatan dan menerima rawatan penyakit termasuk jantung," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Suriyadi Darwis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.06 tengah hari.
Katanya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 50 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"Menurut laporan, kemalangan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit tepi jalan.
"Terdapat dua mangsa dalam kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba," tambahnya.
Bagaimanapun beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi manakala penumpang pula mengalami kecederaan serta dibawa ke hospital menggunakan kenderaan keluarganya.
Operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, jelasnya.