KUALA KANGSAR - Kerajaan Perak mengambil pendekatan turun sehingga ke peringkat mukim dalam usaha memastikan lebih ramai usahawan kecil dan penjaja mendapat akses terus kepada maklumat bantuan serta peluang perniagaan yang disediakan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, langkah itu diambil susulan masih ramai dalam kalangan usahawan yang tidak mengetahui inisiatif disediakan kerajaan.
Menurutnya, pendekatan baharu itu dilaksanakan menerusi Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2026 yang kini memasuki edisi ketiga bagi tahun ini.
“Kalau sebelum ini kita turun ke peringkat daerah, kali ini kita pergi sehingga ke mukim supaya lebih ramai usahawan, peniaga dan penjaja mendapat maklumat lebih terperinci berkaitan bantuan, bimbingan dan pinjaman yang ditawarkan.
"Kita ambil pendekatan ini kerana kita dengar sendiri suara rakyat yang mahu program seperti ini dibawa ke kawasan mereka. Jadi kita turun sendiri supaya akses itu benar-benar sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2026 di pekarangan Masjid Hidayatul Ummah, Kota Lama Kiri di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Kangsar, Azrul Sani Ibrahim.
Salbiah berkata, program jelajah tersebut tidak tertumpu kepada sasaran jualan semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada penyediaan platform kepada usahawan.
Katanya, ia merangkumi peluang mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan, memasarkan produk serta membuka akses kepada pasaran yang lebih luas.
“Kita tidak fokus kepada jualan sangat, tetapi lebih kepada menyediakan platform. Kalau jualan itu baik, alhamdulillah.
“Apa yang penting ialah memperkenalkan produk usahawan kerana ramai antara mereka tidak tahu bagaimana dan di mana untuk memasarkan produk,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai agensi berkaitan keusahawanan termasuk Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan koperasi turut terlibat dalam membantu memperkenalkan produk tempatan di setiap lokasi jelajah.
Program jelajah tersebut akan diteruskan ke beberapa lokasi lain dengan edisi seterusnya dijadualkan berlangsung di Gerik pada Ogos depan.