KUALA LUMPUR -"Ingatlah kita hidup ini tidak bertongkat langit. Sampai masa nanti, kita semua akan pergi juga."
Demikian luah datuk kepada Allahyarham Siti Adawiyah, Abd Majid Abdullah, 66, yang mengajak orang ramai agar tidak terburu-buru menghukum keluarganya susulan kontroversi pengurusan jenazah cucunya yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, keluarganya telah melalui pelbagai ujian apabila kehilangan anak perempuan dan isterinya sebelum ini, selain kini terpaksa menerima pemergian cucu yang amat disayanginya.
"Sebelum ini anak perempuan saya meninggal dunia ketika berusia 19 tahun, kemudian setahun selepas itu isteri saya pula meninggal dunia. Kedua-dua jenazah mereka diuruskan oleh Badan Kebajikan Salaturahim (BKS).
Abd Majid turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berniat baik dan tidak mudah melemparkan tuduhan terhadap mana-mana pihak.
"Kepada netizen, fikirlah dahulu. Buatlah perkara yang baik walaupun sebesar zarah. Kalau niat kita baik, Insya-ALLAH kita akan dapat kebaikan. Kalau berniat buruk, terpulang kepada ALLAH untuk menentukannya.
"Kita semua akhirnya akan kembali kepada-Nya juga," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pertikaian urusan jenazah: Masjid serah JAIS keluar kenyataan
JAIS buat laporan polis, dakwa borang pengebumian jenazah dipalsukan
Polis terima tujuh laporan berkait isu pengurusan jenazah
'Jangan hanya dengar sebelah pihak, dapatkan juga penjelasan daripada waris' - Datuk
Mengulas kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu tersebut, Abd Majid berharap siasatan dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil penjelasan daripada semua pihak termasuk waris.
"Saya harap JAIS membuat semakan dan siasatan dengan betul. Jangan keluarkan kenyataan tanpa bertemu atau mendapatkan penjelasan daripada waris.
"Jangan hanya mendengar sebelah pihak sehingga mengeluarkan kenyataan yang memberi kesan kepada keluarga kami," katanya.
Beliau turut berpesan kepada pihak masjid supaya setiap urusan dilaksanakan mengikut prosedur yang betul tanpa menimbulkan kesukaran kepada pihak lain.
"Buatlah dengan cara yang betul. Kita hidup sebagai orang Islam, janganlah menyusahkan orang lain. Laksanakan amanah dengan jujur dan ikhlas," katanya.
Sebelum ini, bapa Allahyarham, Mohd Hasrul Ghazali tampil menafikan dakwaan kononnya beliau menggunakan permit palsu, memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya.
Beliau turut mendakwa urusan pengurusan jenazah sejak awal dikendalikan oleh Badan Kebajikan Salaturahim (BKS), selain memaklumkan keluarganya terpaksa menunggu kira-kira sejam 39 minit sebelum jenazah dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Kontroversi itu tercetus selepas tular dakwaan jenazah seorang remaja perempuan terpaksa menunggu sebelum dikebumikan susulan pertikaian berkaitan urusan pengurusan jenazah.
Susulan itu, beberapa pihak tampil mengeluarkan kenyataan masing-masing bagi menjelaskan insiden berkenaan, namun waris menafikan beberapa dakwaan yang terkandung dalam penjelasan tersebut.