AMPANG JAYA - Polis menerima tujuh laporan berkaitan isu pengurusan jenazah seorang remaja perempuan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesahkan menerima laporan polis berhubung isu berkenaan yang berlaku pada 25 Jun.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Jika benar saya guna permit palsu, sila buktikan' - Bapa nafi semua dakwaan isu pengurusan jenazah anak
Pertikaian urusan jenazah: Waris, wakil BKS adakan sidang akhbar petang ini
JSJK siasat dakwaan pemalsuan tandatangan urusan pengebumian jenazah
Pertikaian urusan jenazah: Masjid serah JAIS keluar kenyataan
Menurutnya, setakat jam 5 petang pada Ahad, sebanyak tujuh laporan polis berkaitan kes itu telah diterima dan masih dalam siasatan.
"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Ampang di talian 03-4289 7222," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, bapa Allahyarham Siti Adawiyah, Mohd Hasrul Ghazali tampil menafikan semua dakwaan terhadapnya termasuk tuduhan menggunakan permit palsu, memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta dakwaan beliau meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya.
Mohd Hasrul mendakwa sejak awal lagi urusan pengurusan jenazah dikendalikan oleh Badan Kebajikan Salaturahim (BKS) sebelum berlaku kekeliruan berkaitan permit pengebumian sehingga jenazah anaknya terpaksa menunggu kira-kira sejam 39 minit sebelum dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Beliau turut mendakwa tidak pernah dihubungi oleh pihak masjid mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi berhubung isu itu dikeluarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan dakwaan bahawa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya serta menggesa JAIS menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan mendapatkan penjelasan daripada waris sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.