JSJK siasat dakwaan pemalsuan tandatangan urusan pengebumian jenazah

Iklan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesahkan membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan tandatangan bagi tujuan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"JSJK Polis Diraja Malaysia mengesahkan terdapat satu kertas siasatan dibuka yang disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan berhubung pemalsuan tandatangan bagi tujuan pengebumian jenazah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut memandangkan siasatan masih di peringkat awal.

Iklan

Terdahulu, isu pengurusan pengebumian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun menjadi perhatian selepas keluarganya mendakwa berlaku kelewatan hampir sejam untuk mengebumikan jenazah berkenaan.

Pada Ahad, waris kepada seorang lelaki yang dikaitkan dengan pertikaian itu turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi menafikan dakwaan yang disifatkan mencemarkan nama baik dirinya dan keluarga.

Iklan

Laporan itu dibuat susulan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, dakwaan dalam kenyataan tersebut yang menyebut 'datuk si mati berkeras jenazah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS)' adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

Beliau turut menegaskan tidak pernah berurusan dengan pihak Masjid Nurul Hidayah dan ketika kejadian berada bersama jenazah cucu perempuannya.

Katanya, laporan polis itu dibuat bagi menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku ketika urusan pengurusan jenazah selain menafikan dakwaan melalui rakaman audio, penjelasan siak serta kenyataan media JAIS.